Kerajaan Melaka bakal tumbang?
PETALING JAYA: Spekulasi kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang bertiup kencang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Bersatu didakwa akan menyokong Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada FMT, sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, perbincangan antara PH dan empat ADUN itu berlangsung sejak dua bulan lalu ketika ketegangan antara Umno dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencapai kemuncak.
“Umno dan Bersatu tidak tidak berminat untuk bekerjasama dengan satu sama lain setelah keputusan Umno menarik sokongan daripada Bersatu pada 3 Ogos.
“Keempat-empat ADUN telah mengesahkan sokongan untuk PH,” katanya yang menjelaskan mereka boleh menyertai PH sebagai wakil bebas atau bergabung secara rasmi dengan pakatan itu.
Sumber itu berkata, pengumuman mengenai perkara itu sepatutnya dibuat minggu ini namun ia ditangguhkan.
“Sekarang mereka jangka untuk buat pengumuman rasmi pada minggu depan atau minggu selepas itu,” katanya.
“Empat ADUN itu juga sedang menunggu untuk menghadap Yang Dipertua Negeri, Ali Rustam.”
ADUN Rembia Muhammad Jailani Khamis mendakwa bekas Ketua Menteri Adly Zahari juga sedang mengusahakan gerakan untuk merebut kembali jawatan berkenaan selepas digulingkan pada Februari 2020 susulan kejatuhan kerajaan PH.
“Kesombongan peribadi mengatasi rasionaliti. Bekas Ketua Menteri mahu menjadi Ketua Menteri sekali lagi,” katanya kepada FMT.
Jailani yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, menyertai Umno pada Januari lalu selepas dipecat daripada PKR pada Mac 2020. Dia berkhidmat sebagai ADUN bebas selama sembilan bulan.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh mengakui mendengar khabar angin mengenai kerajaan Melaka diterajui parti itu bakal tumbang, namun tidak dapat mengesahkan dakwaan empat ADUN akan menyokong PH.
“Saya ada dengar-dengar tapi maklumat terperinci saya tidak terima lagi, saya akan dengar dulu (dakwaan lompat parti), baru saya akan panggil (Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali),” katanya kepada FMT.