ZAHID HAMIDI ‘DIBODOHKAN’ MENTERI2 UMNO?

 

Sehari sebelum sidang khas Parlimen semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan media yang memberi arahan agar Ahli-Ahli Parlimen parti itu menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinannya.

Seterunya dalam kenyataan bertarikh 25 Julai itu beliau menegaskan, “Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka “Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan”.

Intipatinya bermaksud pendirian UMNO ialah menolak darurat dan akan meninggalkan kerajaan jika darurat disambung lagi selepas 1 Ogos.

Ketika kenyataan media itu dikeluarkan, ramai yang memuji ketegasan Zahid Hamidi berkaitan isu darurat yang secara umumnya memang menimbulkan rasa tidak senang majoriti rakyat kerana ia ternyata telah diselewengkan untuk maksud politik dan bukan bagi memerangi Covid19.

Beliau dilihat benar-benar menepati ketetapan yang telah lama diputuskan oleh UMNO sendiri.

Bagaimanapun di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa proklamasi darurat telah pun dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Ini bermakna ketika Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan media tentang arahan menolak darurat dan ordinan-ordinannya serta mengancam bahawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO akan meletak jawatan daripada kerajaan, proklamasi itu sendiri telah pun dibatalkan lima hari sebelum itu.

Ia dibatalkan pada 21 Julai iaitu hari Rabu di mana biasanya pada hari tersebut berlangsungnya mesyuarat mingguan kabinet.

Sudah tentu dalam hal proklamasi darurat yang dibatalkan pada hari Rabu itu, ia adalah merupakan keputusan kabinet.

Soalnya, dalam hal ini, mengapa menteri-menteri UMNO, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak memaklumkan pembatalan darurat itu kepada Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO?

Mengapa disembunyikan sehingga Zahid Hamidi ternampak “macam bodoh” kerana bercakap tentang sesuatu perkara yang sudah pun dibatalkan?

Jika diberitahu awal, baik Zahid Hamidi dan malah sesiapa pun, sudah pasti tidak akan mengeluarkan kenyataan media berbentuk arahan dan ancaman seperti itu?

Malangnya, kenapa ia diperlakukan kepada Zahid Hamidi?

Apakah menteri-menteri UMNO memang mahu “memperbodohkan” Zahid Hamidi dan menjadikannya kelihatan seperti “ketua parti yang bodoh”?

Apa tujuannya?

Adakah untuk membela dan mempertahankan Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin atau ini permulaan suatu gerakan untuk menyingkirkan Zahid Hamidi daripada terus menerajui UMNO?

Siapa dalam UMNO mahu merampas kuasa ini?


 (ShahbudinHusin 27/07/2021)



No comments: