Dr Dzulkefly menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)
diterajui Mahiaddin tidak mempedulikan gesaan kesemua 46 pakar perubatan
terbabit supaya kerajaan mengambil tindakan serius sebelum negara memasuki
‘unit rawatan rapi’ Covid-19.
“Kini langkah-langkah itu ada dalam PPN. Tujuh bulan terlalu
lewat. Jumlah kes satu juta! Kematian hampir 8,000!
#KerajaanPembunuh?”
ciapnya kemudian di Twitter.
Percepatkan vaksin
Pada 7 Januari lalu, seramai 46 pakar kesihatan terkemuka negara
dalam sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri antara lain menggesa supaya
kadar ujian saringan ditingkatkan menggunakan ujian Antigen Rapid Test Kit
(RTK).
Berbanding kit PCR, jelas mereka, RTK mampu menghasilkan
keputusan dalam tempoh kurang 24 jam.
Selain itu, mereka juga menyarankan supaya individu positif
Covid-19 yang tidak mengalami gejala dikuarantinkan di rumah.
“Kita perlu melindungi sumbangan anggota perubatan profesional
di hospital Covid-19 dengan mengalihkan kesemua pesakit bukan Covid-19 ke
hospital-hospital bukan khusus untuk Covid-19 serta hospital swasta.
“Ini membenarkan mereka untuk fokus kepada kes-kes yang paling
parah,” tegas pakar-pakar dalam surat itu.
Antara pakar yang menandatangani surat itu termasuk Tan Sri Dr
Abu Bakar Suleiman, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee,
bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan dan Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman,
Profesor Perubatan Universiti Malaya.
Pada masa sama, mereka juga menuntut agar proses meluluskan
vaksin Covid-19 dipercepatkan di samping maklumat berhubung vaksin disampaikan
kepada rakyat.
“Sebuah Jawatankuasa Covid-19 yang merentasi sektor dan memperkasakan
pakar-pakar subjek tertentu harus dibentuk dengan segera untuk menyampaikan
nasihat berasaskan bukti,” kata mereka.
Akhir sekali, mereka terbabit turut mengingatkan supaya pandemik
ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak.
“Sebaliknya, bentukkan konsensus bipartisan serta kata sepakat
untuk pendekatan bagi meratakan keluk jangkitan dan mencapai kelompok imuniti
sebagai perlindungan masyarakat untuk hidup bersama virus ini.
“PRU15 di tengah-tengah pandemik yang tidak terkawal ini adalah
satu bencana yang hanya menunggu masa untuk berlaku, seperti yang dibuktikan
dengan PRN Sabah,” tegas kumpulan pakar berkenaan.