Hari ini, 26 Jun, bermakna kita sudah melalui 26 hari tempoh apa yang disebut oleh Mahiaddin Md Yasin sebagai total lockdown yang mula dikuatkuasakan sejak 1 Jun lalu.
Tetapi, sebagaimana yang kita semua tahu, total lockdown itu tidaklah benar-benar total sebenarnya.
Beratus ribu syarikat dan kilang masih diberikan kebenaran untuk beroperasi oleh MITI, termasuk juga banyak tapak pembinaan terus berjalan seperti biasa.
Sebab itu, daripada lebih 7,000 kes harian dilaporkan pada awal Jun lalu, angkanya kini masih lagi dalam lingkungan lebih 5,000 kes di hari-hari kebelakangan ini.
Dengan total lockdown kononnya, ditambah darurat lagi dan walaupun
kebanyakan orang diminta duduk di rumah, pekerja di pejabat dikurangkan dan budak-budak sekolah hanya belajar secara online saja, hakikatnya jumlah kes tidak akan turun selagi kilang dan tapak pembinaan terus dibenarkan dibuka.
Dengan itu, apa yang dinamakan kononnya total lockdown ini bukan saja gagal sejak hampir sebulan perlaksanaannya, malah yang lebih malangnya kemungkinan besar ia akan terus disambung lagi.
Bermakna rakyat akan terus dikurung lagi dengan PKP demi PKP yang entah sampai bila ada akhirnya.
Permintaan rakyat dan banyak pihak sebelum ini agar lockdown penuh dalam erti kata yang sebenar-benarnya di mana semua sektor ekonomi dan sosial ditutup terus dalam tempoh tertentu bagi mengekang wabak ini, langsung tidak didengari oleh kerajaan.
Yang benar-benar total kena lock barangkali hanyalah masjid dan surau, walhal kluster kilang dan tempat kerja jauh lebih tinggi menyumbang angka jangkitan baru Covid19 setiap hari.
Yang agak sedih juga, di ketika kilang dan syarikat besar diizinkan beroperasi, peniaga-peniaga kecil dalam sektor makanan dan peruncitan sebahagian besarnya mengeluh kerana banyak sekatan dikenakan terhadap mereka dan sebahagian lagi tidak dibenarkan langsung menjalankan perniagaan.
Sebagai contoh, di ketika banyak pejabat dibuka dan murid-murid belajar secara dalam talian, tetapi dalam waktu yang sama kedai komputer, kedai membaiki telefon dan alat tulis langsung tidak dibenar untuk dibuka.
Semua ini realitinya lebih banyak menyusahkan daripada memudahkan kehidupan.
Rata-rata pengusaha restoran pula mengeluh bahawa mereka kini hilang sekitar 80 peratus pendapatan akibat peraturan kerajaan berkaitan total lockdown yang tiga suku masak perlaksanaannya ini.
Sementara sudah beribu sudah menutup perniagaan, permohonan mereka agar sekurang-kurangnya dua orang dibenarkan makan dalam satu meja langsung tidak diendahkan.
Mereka merungut, bukankah kilang dan syarikat besar yang dibenarkan beroperasi itu lebih memudaratkan jika dibandingkan dengan memberi kebenaran hanya sekadar dua orang menikmati makanan dalam satu meja di sebuah restoran?
Dengan segala macam sekatan, larangan dan kesusahan itu, sambil rakyat diminta berkurung di rumah, realitinya sebahagian besar mereka kini hidup dalam keadaan stress atau tertekan setiap hari.
Di luar jangkaan kita semua, setiap hari ada saja kes bunuh diri dilaporkan dengan sebahagian video kejadian itu disebarkan secara meluas dalam media sosial.
Tidakkah ini sebenarnya menggambarkan negara kita sedang dalam keadaan tenat?
Apakah kerajaan tidak faham dan tidak mendengar semua keluhan rakyat?
Jika kita perhatikan dengan teliti, semua ini berpunca kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak berkeupayaan, tidak peduli dengan persekitaran, tiada perasaan, sejuk dan dalam dirinya hanya memikirkan bagaimana untuk memanjangkan lagi tempoh hayatnya berkuasa saja.
Darurat dan memanjang-memanjangkan PKP tidak lebih sebagai helah untuk mewajarkan agar kedudukannya tidak mudah untuk digugat oleh mereka yang ingin menjatuhkan atau menarik sokongan daripadanya.
Kononnya dengan PKP yang berlarutan dan ditambah dengan darurat lagi, agenda politik haruslah diketepikan buat sementara waktu, sedangkan itulah sebenarnya helah politik yang sedang dilakukannya.
Oleh kerana yang ada dalam kepala Mahiaddin hanya bagaimana untuk mengekalkan kuasanya saja, sebab itulah beliau tidak peduli susah dan derita orang, waima berapa ramai mahu bunuh diri dan terjun bangunan setiap hari sekali pun.
Ditambah dengan langsung tiada rekod kecemerlangan menerajui mana-mana kementerian sebelum ini, itulah juga sebabnya beliau tidak peduli pun dengan tuntutan moratorium automatik, i-sinar dan i-lestari KWSP, diskaun bil letrik kerana rakyat lebih banyak duduk di rumah dan pelbagai tuntutan bantuan yang sewajarnya untuk golongan yang memerlukan.
Selagi Mahiaddin masih ada di tempatnya dan tidak diubah, percayalah kita akan terus sengsara dan tidak mustahil lebih ramai memilih untuk terjun bangunan daripada menderita seksa dalam kehidupan yang tidak nampak jalan penyelesaiannya.
(ShahbudinHusin 26/06/2021)