Writ saman pengundi Gombak tak serah ikut prosedur, kata peguam Azmin

 

Peguam Nizamuddin Hamid berkata, tiada usaha dilakukan untuk menyerahkan writ saman itu kepada Azmin Ali sendiri di kediaman atau pejabatnya.

KUALA LUMPUR: Kenyataan seorang peguam yang Menteri Kanan (Ekonomi), Azmin Ali tidak diwakili semasa pengurusan kes saman difailkan 10 pengundi Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari, tidak benar serta mengelirukan.

Peguam Nizamuddin Hamid, yang mewakili menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu, turut menyangkal kenyataan Yohendra Nadarajan, peguam mewakili kumpulan pengundi terbabit, yang saman itu sudah diserahkan kepada Azmin pada 1 Dis lalu.

“Saman itu dikatakan telah diserah kepada seorang individu di pusat khidmat masyarakat Azmin. Justeru, ia merupakan pelanggaran peraturan mahkamah secara terang-terangan.

“Writ saman mesti diserahkan mengikut prosedur ditentukan dalam peraturan mahkamah. Ini adalah amalan biasa dan kami terkejut apabila beliau dengan begitu cepat mengumumkan saman itu diserahkan kepada Azmin pada 1 Dis,” kata peguam Tetuan Zharif Nizamuddin itu dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, tiada usaha dilakukan untuk menyerahkan saman itu kepada Azmin sendiri di kediaman atau pejabatnya.

Nizamuddin berkata, peguam itu juga tidak menulis surat kepada anak guamnya untuk meminta diadakan janji temu bagi menyerahkan saman berkenaan.

“Azmin menghormati sistem keadilan dan sekiranya plaintif menyerahkan saman itu mengikuti prosedur ditetapkan undang-undang, beliau akan segera hadir.

“Apa yang dikesalkan adalah mereka memilih untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada sebuah portal berita dalam kes yang sedang berlangsung di mahkamah.”

Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, dilaporkan tidak diwakili peguam semasa pengurusan kes secara dalam talian di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Maslinda Selamat pada 28 Dis lalu.

Yohendra dipetik sebagai berkata, beliau akan memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman ingkar jika tiada peguam yang tampil mewakili Azmin pada prosiding pengurusan kes seterusnya 14 Jan depan.

Semua 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu memfailkan saman berkenaan pada 27 Nov lalu terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang Februari lalu.

Menurut pernyataan tuntutan mereka, semua plaintif antara lain memohon pengisytiharan Azmin, selaku Ahli Parlimen Gombak, melanggar kewajipan fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.


No comments: