Tahun Baru Menanti Bangsa Malaysia



Dua petanda baik mengakhiri tahun 2020, tahun yang sepatutnya menjulang legasi Wawasan 2020. 

Pertama kesediaan Umno untuk kembali menghayati perjuangan asal Allahyarham Onn Jaafar, pengasas dan Presiden Umno pertama yang kemundiannya menubuhkan Independence Malayan Party yang berasaskan penyertaan semua warga dalam satu parti pelbagai kaum. 

Kedua ialah gagasan Bangsa Malaysia yang semakin berani diungkap dan dibahaskan sebagai wacana yang bakal melakar naratif baru pembinaan negara dalam kekuatan satu kerangka.

Kesediaan hampir 150 Bahagian Umno menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional, gabungan yang berasaskan politik Melayu dan Islam, menunjukkan kesedaran baru betapa politik perkauman dan agama memecahbelahkan rakyat dan membantut kemajuan negara.

Bagaimanpun, sehingga kini belum  ada ahli politik yang menyahut seruan pembinaan Bangsa Malaysia yang 

dilontar oleh Presiden Abim, Muhammad Faizal Aziz dalam ucaptama beliau di Muktamar Abim baru baru ini. 

Setakat ini komentar Nathaniel Tan dalam The Star, satu satunya reaksi positif yang mewakili pandangan orang bukan Melayu. 

Faizal dan Nathaniel mewakili generasi pasca Mei 13 yang membesar dan matang dalam era globalisasi yang diwarnai oleh persaingan memperkasakan negara bangsa dari negara miskin menjadi negara membangun dan maju. 

Dalam perlumbaan ini muncullah pelbagai blok ekonomi, kesatuan ekonomi serantau dan wilayah dengan tujuan mengembleng kekuatan bersama mendepani cabaran Perang Dingin dan ancaman kuasa kuasa besar. 

Tentulah satu keanehan lagi ganjil bila  di pentas antarabangsa pemimpin kita menjadi juara memperjuangkan kerjasama blok Selatan dan maufakat negara miskin dan membangun, sedangkan di negara sendiri dasar pecah dan perintah masih berterusan. 

Kita sebenarnya tidak perlu menunggu Lee Kuan Yew untuk memberitahu  bahawa politik berasaskan bangsa dan agama akan membantut pembangunan negara.

Ramai nasionalis Melayu sebelum merdeka menjiwai aspirasi yang sama tetapi mereka di labelkan sebagai puak kiri kerana melawan rancangan penjajah Inggeris.

Perlembagaan Rakyat dalam kerangka kesepakatan rakyat pelbagai kaum tajaan Putera-AMCJA tahun 1947 dilebalkan sebagai agenda komunis. 

Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhamad, Burhanuddin Hilmey, Ahmad Boestamam, Abdullah CD dan ramai lagi tidak melihat kaum bukan Melayu sebagai musuh, sebaliknya satu kekuatan untuk membina negara Merdeka. Parti Rakyat Malaysia membuka keahliannya untuk semua rakyat Malaysia. 

Onn Jaafar menubuhkan Independence  Malaya Party, yang membuka keahlian untuk semua bangsa sebagai pilihan kepada Umno yang memperjuangkan Malay supremacy - ketuanan Melayu. 

Jadi aspirasi bangsa Malaysia bukanlah sesuatu yang baru, cuma tidak menjadi tajuk penting selepas merdeka kerana kemiskinan Melayu menyebabkan mereka mudah dihasut supaya bimbang malah takut kepada kaum Cina yang menguasai hampir segenap bidang ekonomi negara.

Lebih 60 tahun merdeka, isu perkauman sentiasa menghantui pelbagai dasar negara- pendidikan , ekonomi dan politik. Hasilnya regim kleptomaniac mengakhiri kerajaan ketuanan Melayu.

Atas kesedaran perlunya kesatuan dalam kepelbagaian Anwar Ibrahim menubuhkan parti pelbagai kaum. Parti Keadilan Rakyat tidak sama dengan parti serpihan Umno atau Pas sebaliknya sebuah parti baru untuk semua rakyat Malaysia. 

Selepas dibebaskan dari penjara, slogan yang selalu dilaungkan Anwar Ibrahim ialah “ anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban, Kadazan dan anak orang Asli adalah anak saya”. 

Orang politik mungkin melihat ini slogan mencari undi, tetapi hakikatnya Anwar mahu membina pemikiran generasi muda ke arah pembentukan Bangsa Malaysia. 

Anwar mengumumkan Dasar Ekonomi Malaysia (DEM) menggantikan Dasar Ekonomi Baru(DEB),  gagasan baru yang melawan arus. 

DEM berpaksikan keperluan bukan perkauman seperti DEB. Ketempangan DEB yang memperkayakan elit politik mesti dihentikan. 

Tentunya orang politik yang hanya melihat kerusi dan jawatan sebagai matlamat tidak gemar membicarakan tajuk yang merugikan mereka. Maka tidak hariranlah ada politikus tua masih mahu kembali berkuasa kerana kuasa itu harta. 

Pengaruh politik yang dibina dengan sentimen perkauman dan agama akan hilang sengatnya malah akan dihukum sebagai anti nasional. Ini kerana watak Bangsa Malaysia dan agenda pembangunan negara bangsa terletak di atas garis kaum dan agama.

Sebenarnya mereka yang menjadi jaguh perkauman dan politik agama pun, mengakui kewujudan Bangsa Malaysia bila berada di pentas antarabangsa.

Mustahil mereka yang mengakui “Saya Melayu first dan Malaysian second” akan memberitahu orang Amerika “ Saya Melayu Malaysia atau saya Muslim Malaysia”. Pastinya setiap kita akan memperkenalkan diri sebagai “Malaysian”. 

Bangsa Malaysia tidak akan menghilangkan identiti kaum dan status agama seseorang sebaliknya menjelmakan identiti kebangsaan dan kecintaan kepada negaranya. 

Dr Siddiq Fadzil, ilmuan dan sahabat karib Anwar membicarakan tajuk ini dengan cukup menyakinkan di Kongres Cendekiawan Melayu tahun 1995. 

Sebagai pemikir dan ilmuan Islam yang arif dalam bidang agama, budaya Melayu dan pemikiran Barat, penghujahan beliau cukup bernas dan melengkapi pelbagai sudut pandangan. 

Beliau yakin pembentukan Bangsa Malaysia berasaskan acuan Perlembagaan akan melahirkan negara bangsa yang membina idealisme dan maspirasi bersama. Kesatuan dalam kepelbagaian kaum akan memperjuangkan nilai nilai sejagat - kemanusiaan, keadilan, demokrasi dan dalam kerangka yang sama mereka menentang gejala kebejatan:- kezaliman, diskriminasi, kecurangan, rasuah, pembelotan dan pelbagai kefasadan yang merosakkan negara dan melemahkan bangsa. 

Dalam karyanya bertajuk “Budaya Takut” beliau menyindir kejumudan kaumnya dan mencabar mereka keluar daripada tempurung ketakutan untuk menjadi bangsa yang bermaruah.

Bagi mereka yang mengetahui, wacana  Siddiq Fadzil itu sebenarnya mencerminkan perjuangan Anwar Ibrahim. Inilah nilai nilai sejagat yang cuba dicanai dan diadun oleh Anwar ketika menyertai Umno dan kerajaan dahulu. Malangnya beliau kemudian menjadi mangsa kediktatoran yang memperalatkan kaum dan agama untuk kekal dalam acuan lama. 

Anwar mengambil keputusan membina kekuatan dalam kepelbagaian dengan menubuhkan PKR- parti pelbagai kaum. 

Kejayaan Anwar dalam masa yang singkat membawa parti yang sama sekali bercanggah dari segi ideolgi politik- Pas dan DAP bergabung dalam Pakatan Rakyat adalah kerana ketokohannya sebagai pejuang rakyat yang tulen.

Kerjasama tiga parti yang mewakili identiti Bangsa Malaysia berjaya menawan lima negeri dalam PRU 2008. Sepuluh tahun kemudian Dr Mahathir terpaksa mengakui kekuatan ini bila Bersatu turut menyertai Pakatan Harapan dan sekaligus menjatuhkan kerajaan Umno/ BN. 

Seandainya Mahathir tidak belot kepada perjuangan rakyat yang dahagakan perubahan, barangkali naratif politik Bangsa Malaysia lebih cepat dicapai.

Apapun kesediaan Umno membantu Anwar merealisasikan aspirasi ini akan meniup gelombang baru yang akan menengelamkan suara sumbang dan kokokan lama yang ketinggalan zaman.

Gelombang ini akan melahirkan ramai pemimpin yang berjiwa bangsa Malaysia bagi menyelamatkan negara ini daripada belenggu  perkauman dan fahaman agama yang sempit. 

Membentuk bangsa baru tidaklah semudah menubuhkan Umno Baru atau parti baru. Pun begitu kita amat yakin generasi baru rakyat Malaysia akan bersama gelombang baru yang lebih menjaminkan masa depan mereka. 

Saya kagum dengan pendirian saudara Fuad Zarkashi Ahli MKT Umno yang gigih mengikis persepsi palsu kebencian kaum yang masih dianuti segelintir pemimpin Umno yang oportunis. 

Saudara Fuad pernah bersama jemaah Anwar dan pastinya beliau menghayati idealime Anwar. 

Mudah mudahan usaha Saudara Fuad akan melahirkan United Malaysian National Organisation [UMNO) yang benar benar baru sebagai wadah politik bangsa Malaysia yang betul betul bersatu dan berjiwa kebangsaan. 

Fikir dan tafakurlah hikmah yang menunggu kelahiran baru ini. 


A Nazri Abdullah



No comments: