TUJUH FAKTA MENYANGGAH MAHATHIR YANG MAKIN TUA MAKIN KEMARUK KUASA

 

Kenyataan terbaru Tun Mahathir Mohamad bahawa PH tidak akan mendapat sokongan pengundi Melayu jika tanpa penyertaannya dalam gabungan itu memberi beberapa kesimpulan tentang watak dan hati perut bekas Perdana Menteri itu.

Pertama, ini memperlihatkan Tun Mahathir masih kemaruk untuk berkuasa semula, walaupun usianya sudah melebihi 95 tahun dan telah dua kali pernah menjadi Perdana Menteri.

Nampaknya, semakin tua dan semakin berusia, kemaruk kuasa makin meronta-ronta dalam dadanya.

Sebagaimana saya pernah sebut sebelum ini, inilah satu-satunya perangai manusia yang pelik pernah ada sejak zaman Nabi Adam lagi.

Kedua, dengan menawar dan mempromosi dirinya konon mampu menarik sokongan pengundi Melayu, ternyata Tun Mahathir seorang yang paling taksub kepada dirinya sendiri dan ingin kembali menyertai PH semula.

Sekaligus ini menggambarkan keyakinannya bahawa PH merupakan satu gabungan politik yang diterima pengundi.

Semakin ramai orang lain mahu melupa dan meminggirkannya, Tun Mahathir tetap berasakan hanya Tun Mahathir seorang saja yang mampu melakukan banyak perkara dalam negara ini.

Ketiga, kenyataan ini juga menunjukkan Tun Mahathir tetap ingin memintas dan menyekat peluang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

Terlihat di sini, selagi nyawa belum terpisah daripada jasadnya, dendam dan dengkinya kepada Anwar tetap ingin ditunjukkannya kepada dunia.

Keempat, terbukti Tun Mahathir seorang pemimpin berdarah Melayu yang benar-benar pelupa sebagaimana ungkapan yang selalu disebutnya sebelum ini – Melayu Mudah Lupa.

Jika Tun Mahathir bukan seorang yang mudah lupa dan jika benar penyertaannya ke dalam PH mampu menarik sokongan pengundi Melayu, mengapakah daripada 52 kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRU14 lalu, tetapi hanya 13 saja mampu dimenangi?

Di mana sokongan Melayu dibanggakannya?

Kelima, jika benar Tun Mahathir telah menarik pengundi Melayu ke dalam PH, bagaimana UMNO masih mampu menang 55 kerusi Parlimen iaitu terbanyak pada PRU14 itu?

Kalaulah benar pengundi Melayu sudah ditarik ke dalam PH dan Bersatu sendiri banyak berlawan dengan UMNO, bukankah sepatutnya Bersatu yang menang lebih banyak kerusi berbanding UMNO?

Keenam, Tun Mahathir memberi contoh sokongan Melayu yang dibawanya telah menyebabkan DAP yang sebelum ini tidak pernah menang lebih daripada 18 kerusi telah mampu menang 42 kerusi Parlimen pada PRU14 lalu.

Jika Tun Mahathir seorang yang tidak pelupa – sejak bila DAP bertanding di kerusi-kerusi Melayu dan apakah 42 kerusi yang dimenangi DAP itu kerusi Melayu?

Ketujuh, Tun Mahathir terbukti turut melakukan penipuan fakta dengan mengaitkan sokongan Melayu yang ditariknya dengan kemenangan PH di mana kemenangan PH pada PRU14 adalah bukti nyata kerana sokongan semua kelompok pengundi yang inginkan perubahan dan ia tidak semata-mata oleh satu kaum saja.

Tindakan ini tidak lain ialah untuk Tun Mahathir mewajarkan agar dirinya diterima semula ke dalam PH, menjadi Perdana Menteri sekali lagi, sekaligus menghalang peluang Anwar.

Kesiannya Tun Mahathir sekarang ini, makin tua makin menjadi-jadi kemaruk kuasanya yang disekalikan dengan dendam yang ada dalam dadanya. 


(Shahbudindotcom 31/12/2020)