Oleh Nor Miswary Ramli
(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut)
Yang selalu ditanya orang; jika esok diadakan Pilihanraya Umum (PRU), adakah Pakatan Harapan (PH) boleh menang? Rakyat rata-ratanya melahirkan rasa sangsi kemampuan PH memenangi PRU jika ia diadakan esoknya. Ini disebabkan beberapa perkara yang di dakwa tidak disepakati di kalangan mereka sepanjang pergelutan membiasakan diri menjadi pembangkang semula selepas tragedi Langkah Sheraton.
Ada yang nakal sehingga turut mencongak-congak aka adanya kerusi Parlimen sebahagian pemimpin PH yang mungkin terlepas ke tangan lawan. Kesangsian tersebut mungkin ada asasnya, biarpun asasnya mungkin berubah pada hari membuang undi.
Sebaliknya, bagaimana pula kalau Pakatan Harapan memerintah semula esok? Apakah yang akan berlaku? Apa yang anda jangkakan? Biar saya kembangkan imaginasi ini kepada anda.
Selepas Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah di Istana Negara, yang terawal yang akan beliau lakukan ialah, pengumuman barisan kabinetnya yang jauh lebih kecil daripada kabinet mega Perikatan Nasional seperti sekarang. Kabinet yang lebih kecil bertujuan menjimatkan duit rakyat serta membuktikan Kerajaan PH kali ini benar-benar berbeza daripada kerajaan pintu belakang tebuk atap Perikatan Nasional dan sebelum itu. Kerajaan PH tidak mahu pisang berbuah dua kali (walaupun bukankah elok kalau pokok pisang boleh berbuah dua kali?)
Menteri Kesihatan yang dilantik tentunya akan lebih cerdik dari yang ada sekarang, Beliau tidak akan mudah hilang dalam radar Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan. Menteri Kesihatan Kerajaan PH yang besoknya ini akan bersedia menjawab soalan Ahli Parlimen Perikatan Nasional di dalam Dewan. Beliau juga tidak akan mudah-mudah ajar kita minum air suam untuk mencegah diri dari terkena Covid-19.
Parlimen akan bersidang penuh sehingga petang sebagaimana yang diamalkan semasa pemerintahan PH selama 22 bulan. Saringan Covid-19 yang dibuat 2 minggu sekali sudah memadai untuk kesemua Ahli Parlimen berada di Dewan Rakyat membahaskan isu-isu rakyat di kawasan mereka. Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan PH tidak akan menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk mengelakkan diri bertembung dengan pihak pembangkang.
Kerajaan PH tentunya tidak akan mempunyai Menteri yang menjaga kebajikan masyarakat dan hal-ehwal wanita yang terjerit-jerit cuba untuk menenggelamkan suara ahli parlimen pembangkang sementara menunggu Speaker Dewan bersuara menyelamatkannya. Perdana Menteri yang baharu tahu benar perkara ini.
Adakah kabinet PH ini akan mempunyai Menteri Kanan juga? Beliau boleh jadi seseorang yang dilantik berdasarkan pengalaman panjang beliau dalam pentadbiran Kerajaan. Beliau akan berperanan menasihati Kabinet dalam soal tadbir urus wang negara dan membangunkan semula negara sebagai Harimau Asia, dan beliau mungkin tidak berseorangan.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mengeluarkan SOP yang mengelirukan atau pada saat akhir. Anggota-anggota kabinet PH akan menyelaras semua SOP di antara kementerian agar ianya selari, wajar dan bersesuaian. Pelajar universiti dan para ibu bapa pasti lega!
Semua petugas barisan hadapan pula akan menerima apa yang mereka berhak terima. Mereka tidak akan dibeza-bezakan untuk menerima elaun khas Covid-19. Menteri PH akan memaklumkan perkembangan pandemik Covid-19 dengan lebih terperinci setiap hari dan tidak akan membuang masa menukar ganti kapal terbang di rak kabinet pejabat.
Isu kebajikan rakyat semasa pandemik Covid-19 tentunya menjadi fokus paling wahid Kerajaan Pakatan Harapan. Isu bakul makanan yang tidak sampai ke tangan rakyat semasa Perikatan Nasional memerintah dulu terlalu sakit untuk ditelan. Maka, kali ini nasib mereka yang terlepas daripada mendapat bakul makanan seperti yang turut dihadapi di Sabah pasti akan di atasi segera. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan memberi tumpuan khusus kepada isu ini tanpa kompromi. Masakan tidak, beliau pun datang dari sana!
Maka apabila ditanya orang, bagaimana jika esok diadakan pilihanraya umum, lalu saya mahu menganjurkan rupa bentuk kemenangan yang akan Pakatan Harapan capai dan raikan besoknya – ia dicapai melalui kesatuan gabungan yang lebih besar dan tidak pernah terjangkau oleh kita.