UMNO BUKAN SAJA MAHU BERPISAH DENGAN BERSATU, MALAH SEDIA KEHILANGAN PAS

 Ada dua perkara besar yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO dalam mesyuaratnya semalam.

Pertama, menimbang untuk meninggalkan kerajaan PN dan akan memberi syarat baru yang mana perjanjiannya akan dilakukan secara bertulis serta perlu dilaksanakan segera jika ingin meneruskan kerjasama dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Kedua, mencadangkan kepada Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) agar MN didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

Kedua-dua perkara besar yang diputuskan itu pula memberi kesan kepada hubungan UMNO dengan dua parti lain.

Pertama, kepada Bersatu dan kedua, kepada Pas.

Dalam perkara pertama yang dituntut UMNO, kita tidak pula diberitahu apakah syarat-syarat baru yang diminta itu.

Mungkin antaranya adalah berkaitan pembahagian kementerian kanan tertentu yang harus diberi kepada wakil UMNO, sesuai dengan kedudukan parti itu sebagai pemegang kerusi terbanyak dalam PN.

Tidak mustahil juga ia turut melibatkan jaminan nasib pemimpin-pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah kerana seperti yang kita sedia maklum, semua pendakwaan itu dilakukan semasa era Tun Mahathir Mohamad dahulu.

Apa pun syarat-syarat yang diminta UMNO, ia pasti sukar untuk dipenuhi oleh Muhyiddin, kecuali jika beliau memang tidak mahu berada lebih lama sebagai Perdana Menteri.

Dalam erti kata lain, pertimbangan UMNO untuk meninggalkan PN, sambil memberi syarat-syarat baru, ia adalah suatu bentuk tekanan dan alasan untuk parti itu berpisah dengan Bersatu dan sedia menjatuhkan Muhyiddin bila-bila masa.

Setelah dibuli dalam PRN Sabah, UMNO kini jelas telah mengeluarkan taringnya untuk mereka pula mahu membuli Bersatu.

Berkaitan perkara kedua iaitu mendaftarkan MN, ini pula sebenarnya adalah satu bentuk kata dua kepada Pas.

Pas dan UMNO sebelum ini bermuafakat dalam MN, tetapi gabungan itu tidak didaftarkan secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan atau RoS.

Kemudian, apabila Muhyiddin mengambil keputusan mendaftarkan PN, Pas mengambil keputusan setuju menyertai PN, walaupun UMNO awal-awal bertegas tidak mahu menyertainya.

Dengan menyertai PN yang diketuai Bersatu dan bermuafakat bersama UMNO dalam MN, bermakna Pas berkubang mencari ikan di dua kolam dalam waktu yang sama.

Tetapi, sesebuah parti tidak boleh berada di dalam dua gabungan pada waktu yang sama.

Ertinya, apabila UMNO mencadangkan agar MN didaftarkan secara sah, ia adalah suatu bentuk kata dua atau pilihan kepada Pas – terus bersama PN atau kembali kepada MN.

Yang nyata, dengan dua perkara besar yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO semalam, tanpa keraguan bahawa UMNO bukan saja tiada masalah untuk meninggalkan Bersatu, malah juga bersedia kehilangan Pas jika parti itu akhirnya lebih mementingkan kedudukan serta jawatan berbanding kesetiaan.

Dalam hal ini, keberanian UMNO membuat pendirian terkait Bersatu dan Pas tentu saja harus diberikan pujian kerana ia menampakkan parti itu sudah sedia untuk bangkit dan kembali berkuasa melalui pengukuhan semula BN.(Shahbudindotcom 14/10/2020)