Lebih 120 sokongan ahli parlimen dipersembahkan kepada Agong - Anwar

 


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa lebih 120 ahli parlimen telah memberikan sokongan kepada beliau dan kesemua dokumen sokongan itu telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah di Istana Negara pagi tadi.

 

Susulan daripada itu, Agong akan memanggil beberapa ketua parti bagi mengesahkan majoriti yang diperoleh oleh Anwar.

 

Justeru, Anwar meminta rakyat supaya memberi ruang dan masa kepada Agong untuk membuat keputusan yang selanjutnya.

 

"Alhamdulliah, menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan menerima saya menghadap di Istana Negara.

 

"Seperti yang dijanjikan pada 23 Sept lalu, saya sudah tunaikan dan persembahkan kepada Agong dokumen sahih memgenai majoriti kukuh yang meyakinkan dari ahli parlimen yang menyokong saya.

 

"Saya pohon semua pihak memberikan ruang dan wawenah kepada Agong bagi menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan dan juga budi bicara untuk menelaah dokumen dan satu dua hari ini memanggil ketua parti bagi mengesahkan dan mendapat input serta pandangan yang sebaiknya," katanya dalam sidang media.

 

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpandangan dokumen sahih yang dikemukakan itu sudah cukup untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

 

"Sokongan mencecah lebih 120 ahli parlimen jadi Agong akan memanggil ketua parti yang terlibat dan munasabah untuk kita bersabar, beri ruang kepada Agong untuk memutuskan.

 

"Dokumen sahih yang diberikan kepada Agong itu ada bentuk surat pengakuan sumpah ada bentuk pengesahan dokumen dari ketua parti, dengan dokumen ini terbukti kita ada majoriti kukuh dan yakin dalam kalangan ahli parlimen.

 

"Saya merayu kepada rakyat bersabar memberikan ruang kepada Agong untuk berfikir dan putuskan berdasarkan perlembagaan dan budi bicara," katanya.

 

Anwar tetap dengan pandangannya bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah jatuh.

 

"Agong ada ruang dan budi bicara jadi saya ingat tidak wajar untuk kita bagi tarikh atau tetapkan masa, saya maklumkan kepada Agong bahawa kita akan bersabar, cuma kalau berdasarkan terkini saya masih beranggapan kerajaan Muhyiddin sudah jatuh.

 

"Muhyiddin sudah hilang majoriti, justeru lebih wajar untuk beliau meletakkan jawatan," katanya.

 

Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan terus menumpukan kepada menangani penularan COVID-19 dan memulihkan sektor ekonomi.

 

"Fokus kita ketika ini sudah tentu adalah COVID-19 bagi memastikan ekonomi berkembang, kita ada kaedah yang mana tidak ada pada kerajaan ketika ini dalam menangani perkara ini, malah tiada perancangan jelas untuk pulihkan ekonomi.

 

"Ini bukan soal kemenangan atau kekalahan tetapi supaya dapat tegakkan satu negara yang maju dan adil, menangani malapetaka COVID-19 dan memacu pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan," katanya.

 

Pada masa sama, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan yang akan dibentuknya nanti bersifat inklusif dan bukan ditubuhkan atas dasar permusuhan politik semata-mata.

 

"Banyak yang dibangkitkan mengenai kenyataan saya yang lalu bahawa pentadbiran ini insya-Allah jika saya pimpin nanti, majoritinya muslim dan Bumiputera, tetapi saya tegaskan bahawa hak semua rakyat warganegara tetap terpelihara.

 

"Saya beri jaminan bahawa kerajaan ini kerajaan inklusif, tidak ada permusuhan politik dan dendam peribadi kepada sesiapa," katanya.

 

Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menafikan bahawa majoriti itu berjaya diperoleh kerana beliau sudah membuat perjanjian dengan pihak tertentu.

 

"Saya kekal komited dengan reformasi institusi, kebebasan kehakiman dan perlembagaan undang-undang. Tidak ada "deal" dengan mana-mana individu seperti yang didakwa sesetengah pihak. Tuduhan itu tidak relevan dan sangat tidak bertanggungjawab.

 

"Tidak ada agenda politik terhadap sesiapa, mereka yang menyokong saya harus menerima proses berdasarkan perlembagaan undang-undang dan kebebasan kehakiman, tidak akan mengubah mana-mana pendakwaan seperti yang ditohmahkan.

 

"Saya juga bukan dalam kedudukan untuk menghalang sesiapa yang mahu sertai saya, dengan syarat bahawa mereka terima polisi dari segi tadbir urus yang baik dan reformasi institusi," katanya.

 

No comments: