Oleh Azrul Hakimie Anuer
BANGI,, Jumaat – Sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini berada pada tahap sangat minimum dalam kalangan rakyat.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam Fakulti Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali mendakwa, keadaan berkenaan berlaku ekoran daripada kegagalan kerajaan didominasi DAP itu melaksanakan manifesto yang dijanjikan terutama berkaitan kos sara hidup.
Dakwa beliau, ketika ini pihak yang benar-benar menyokong PH hanyalah golongan kelas pertengahan dan ahli akar umbi parti politiknya.
“Situasi sekarang boleh dikatakan memang paling rendah tahap sokongan rakyat, selepas lebih setahun berkuasa dia (PH) boleh kata tidak berjaya menunaikan janji-janji.
“Sebenarnya orang atas pagar ini ramai, yang bising di media sosial mewakili kumpulan kecil sebenarnya.
“Buat masa sekarang memang susah sikit sebab rakyat ketika ini sedang merasakan persembahan PH tidak begitu memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Badan pemikir, EMIR Research semalam mengeluarkan hasil penyelidikan mengenai sokongan dan pandangan rakyat terhadap parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Daripada 1,992 responden yang terdiri daripada 104 latar belakang berlainan mendapati PH mendapat 41 peratus kerusi Parlimen.
Sokongan daripada golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah mendapati 45 peratus memilih Muafakat Nasional, manakala PH pula mendapat 40 peratus undian diikuti 15 peratus bagi parti Bebas.
Mengulas lanjut, Dr Mazlan berpendapat, kerajaan PH ketika ini berada dalam tekanan susulan daripada kemerosotan sokongan yang mereka hadapi.
Katanya lagi, keadaan menjadi bertambah buruk dengan berlakunya pelbagai kemelut politik melibatkan parti komponen seperti PKR dan DAP.
“(Tekanan) sudah pasti ada, Konvensyen Amanah baru-baru ini kemudian PKR soal kongres dia sendiri pun banyak perkara-perkara seperti ini dibangkitkan.
“Mereka dalam situasi sedar bahawa sokongan tidak berpihak kepada PH sekarang ini,” katanya.
Dr Mazlan turut memberi peringatan sekiranya PH masih berdepan dengan masalah sama seperti kemelut siapa Perdana Menteri dan gagal mempertingkatkan ekonomi negara untuk tempoh masa setahun lagi usaha mengekalkan tampuk pentadbiran mungkin menjadi sukar.