SELEPAS DUA TAHUN TIDAKLAH PULA BERMAKNA SEHINGGA KE TARIKH PRU15.....



KENYATAAN MEDIA

KEADILAN Menyokong Kerajaan Pakatan Harapan Di Bawah Kepimpinan Tun Dr Mahathir

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini.

KEADILAN menegaskan perpaduan dan kesepakatan Pakatan Harapan harus dipertahan, dan menolak keras segala tohmahan yang cuba  melaga-lagakan pimpinan dan melemahkan kerjasama erat di kalangan Pakatan Harapan.

KEADILAN berpegang teguh kepada persetujuan yang telah dicapai dan diumumkan pada 7 Januari 2018, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas tempoh 2 tahun. 

KEADILAN menegaskan bahawa pendirian parti dalam perkara ini tidak berubah.

KEADILAN turut menegaskan seluruh kekuatan parti perlu disalurkan ke arah menyokong usaha Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengukuhkan ekonomi dan mengatasi masalah rakyat termasuk isu kos sara hidup.

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
24 Februari 2019.


ULASAN BLOG - PKR nampaknya sekali lagi tampil dengan kenyataan menyokong kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaru ini dinyatakan bahawa Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas 2 tahun Tun Mahathir memegang jawatan tersebut.

Ini agak berbeza dengan apa yang selalu ditanggapi umum sebelum ini bahawa Tun Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri selama 2 tahun saja.

Malah, Tun Mahathir sendiri seperti setuju dengan tempoh dua tahun itu apabila beliau pernah melirik kepada Presiden PKR itu sambil berkata, “kalau Anwar beri izin, dapatlah saya jadi PM dua tahun setengah.”

Anwar pula berkata berkali-kali menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir dalam tempoh dua tahun selepas kemenangan pada PRU14.

Baru-baru ini pula beliau melahirkan keyakinan akan mengambil alih jawatan itu daripada Tun Mahathir sebelum tempoh dua tahun sebagaimana yang telah dipersetujui.

Tetapi, mengapa dalam kenyataan terbaru ini dinyatakan peralihan kuasa itu akan dilakukan selepas tempoh 2 tahun?

Apakah ini bermakna Anwar sudah mengalah?

Sebenarnya, ini adalah tanda penghargaan dan kepercayaan penuh Anwar terhadap kepimpinan Tun Mahathir serta mahu Perdana Menteri tidak rasa terlalu suntuk masanya mentadbir negara ini.

Meskipun demikian, haruslah juga difahami bahawa Tun Mahathir sekarang sudah mencecah usia 94 tahun dan tahun depan akan menginjak umur 95 tahun.

Dengan ruang masa selepas 2 tahun diberi untuk berlakunya penyerahan kuasa itu, ia tidaklah pula bermakna Tun Mahathir harus memanjangkannya sehingga ke detik PRU15 yang dijangka diadakan pada tahun 2023.

Jika sehingga tahun 2023 itu, usia Tun Mahathir ketika itu sudah pun menjangkau 98 tahun dan adakah beliau masih mampu menjalankan tugasnya dalam usia setua itu?

Dalam hal ini, Tun Mahathir juga harus sedar bahawa sebelum beliau melakukan penyerahan kuasa, Anwar hendaklah diberi ruang secukupnya untuk mengukuhkan parti dan kerajaan sebelum ketibaan PRU15.

Menyerahkan kuasa di saat-saat akhir sebelum PRU15 mungkin menyukarkan Anwar menghadapi pilihanraya tersebut, apalagi untuk mengekalkan kemenangan PH.

Bermaksud, tempoh selepas 2 tahun yang disebut dalam kenyataan media terbaru ini, ia mungkin bermaksud 2 tahun 1 bulan, 2 tahun 3 bulan, 2 tahun 6 bulan atau tarikh-tarikh lain yang hampir dengannya.

Namun, ia tidaklah sehingga ke tarikh PRU15 atau sampai Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 5 tahun lamanya.

Membiarkan Tun Mahathir menerajui negara sehingga PRU15 atau jika beliau hanya melakukan penyerahan kuasa di saat-saat, ia lebih mengundang peluang yang kelam dan sukar bagi PH untuk terus mengekalkan kuasanya. 

Anwar mesti diberi masa yang secukupnya membuktikan kepimpinannya dan melaksanakan idea-idea baru sebelum tibanya PRU15. (ShahbudinHusin 24/02/2019)