Hadi Awang nampaknya hanya melakukan kerja sia-sia apabila menyatakan sokongan parti itu terhadap Tun Mahathir Mohamad.
Ia bukan saja kerana usul undi tidak percaya yang diharapkan Hadi akan berlaku kepada Tun Mahathir itu sebenarnya tidak lebih sebagai ilusi kosongnya semata-mata, bahkan yang cukup memalukan lagi ialah Perdana Menteri sendiri langsung tidak mempercayai sokongan yang diberikannya itu.
Kata Tun Mahathir, beliau tidak faham dengan pendirian tidak tetap Pas dan Hadi berhubung perkara itu.
"Hadi, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri datang jumpa saya dan menyatakan sokongan untuk saya terus kekal sebagai Perdana Menteri.
"Bahkan mereka memberi pengakuan bertulis supaya saya terus kekal menjadi Perdana Menteri, namun dalam situasi lain parti itu melakukan tindakan yang dilihat tidak menyokong saya," ujar Tun Mahathir.
PENGUMUMAN - Untuk kemudahan dan keselesaan pembaca yang terus berkembang, bermula pada 1 Mac 2019 blog ini akan berpindah sepenuhnya daripada Blogspot kepada WordPress. Ia kemudian boleh dilayari melalui Shahbudindotcom.net. Terima Kasih.
Katanya, walaupun setelah menyatakan sokongan itu, Pas telah hadir bersama-sama dengan UMNO di hari penamaan calon PRK Semenyih.
"Pas pula tidak letak calon di Semenyih yang memperlihatkan mereka ada kerjasama dengan UMNO.
"Jadi, saya susah nak percaya dengan Pas ini," tambahnya lagi.
Untuk makluman tambahan, semalam pula Hadi telah muncul bersama Annuar Musa dalam satu program ceramah di Melaka.
Sebagai parti yang berjuang atas nama Islam, apakah sebenarnya pendirian Pas dalam politik negara ini?
Menyokong kerajaan atau mahu menjatuhkan kerajaan?
Dalam keadaan Tun Mahathir sudah secara terang-terang menyatakan ketidakpercayaan kepada Pas, parti itu seharusnya berani tampil dengan pendirian yang lebih jelas serta mudah difahami.
Tak malukah Pas mahu terus menjaja sokongannya kepada Tun Mahathir itu, sedangkan ia langsung tidak dipercayai?
Atau semenangnya Pas suka dengan kerja sia-sia? (ShahbudinHusin 25/02/2019)