03 April 2026
Ada empat berita baik mengenai Hamzah Zainuddin yang disiarkan media dalam sehari dua ini.
Pertama, parti baru yang bakal diambil alihnya dikatakan akan diumumkan dalam waktu terdekat ini.
Kedua, parti baru tersebut dialu-alukan untuk segera menyertai PN.
Ketiga, Bersatu tiada halangan dan tidak berhasrat menghalang kemasukan parti Hamzah ke dalam PN kerana tidak mahu berbalah dengan PAS yang kini menerajui gabungan tersebut.
Bersatu cuma mahu menuntut balik kerusi Parlimen yang dipegang oleh Kumpulan Hamzah untuk ditandingi parti itu pada PRU16 akan datang.
Keempat, Presiden PAS, Haji Hadi Awang mengesahkan calon baharu Ketua Pembangkang hanya akan dinamakan menjelang sidang Parlimen pada Jun depan.
Pengesahan Itu menjadikan, sehingga Jun depan, Hamzah akan terus kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang, meskipun ada kelompok dalam Bersatu dipercayai akan terus buat bising mendesak pertukaran pemegang jawatan itu.
Dengan semua empat berita baik di atas, adalah dijangka sebelum Jun akan datang, akan ada perkembangan positif yang dapat disahkan melibatkan kedudukan Kumpulan Hamzah dalam PN.
Tidak mustahil mengiringi pengesahan parti baharu yang akan diambil alih Hamzah nanti, menyusul selepasnya ialah parti itu segera dapat diterima sebagai komponen PN.
Jika itu berlaku, ia merupakan sesuatu yang positif buat PN kerana Kumpulan Hamzah dipercayai mampu memberi nilai tambah yang signifikan kepada gabungan itu sebagai “kerajaan menanti”.
Ini kerana Hamzah bukan saja disokong oleh Ahli-Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada Bersatu, tetapi sejumlah besar Ahli Parlimen Bersatu juga memihak kepadanya.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sendiri tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen parti lain.
Jika setelah parti baharu Hamzah diterima sebagai komponen PN, biarlah soal pengagihan kerusi pada PRU akan datang diselesaikan kemudian secara dalaman.
PAS sebagai peneraju PN mesti ada kaedah dan tahu bagaimana menyelesaikan isu pembahagian kerusi itu nanti.
Jadi, isu Bersatu mahu menuntut balik kerusi yang kini dipegang Kumpulan Hamzah, ia bukanlah isu besar untuk difikirkan pada ketika ini.
Yang lebih penting, biar parti Hamzah tiada masalah jadi komponen PN.
Sekiranya parti baharu Hamzah dan penyertaannya ke dalam PN mampu dibereskan sebelum sidang Parlimen pada Jun depan, isu Ketua Pembangkang juga boleh selesai dengan sendirinya.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini bahawa majoriti daripada 69 Ahli Parlimen blok pembangkang tidak berganjak menyokong Hamzah, ini bermakna dengan Ahli Parlimen Larut itu sudah menjadi sebahagian daripada PN, mengekalkannya sebagai Ketua Pembangkang bukan lagi suatu masalah.
Paling mustahak, semua penyelesaian itu akhirnya mampu memberi harapan lebih cerah untuk PN mengambil alih kerajaan selepas PRU16 akan datang. - ShahbudinHusin 03 April2026.
No comments:
Post a Comment