SUDAH-SUDAHLAH TAN SRI…TAN SRI BUKAN LAGI PENGERUSI PN!!



4 Mac 2026


Nampaknya Muhyiddin Yassin sejak tidak lagi memegang jawatan Pengerusi PN semacam makin dibelenggu dengan kekacauan pemikiran yang kronik.


Relakslah Tan Sri dan bawalah banyak-banyak bertenang.


Kurang  bebanan politik dengan tidak lagi mengetuai PN sepatutnya menjadikan Tan Sri lebih tenang, bukannya tak habis-habis meroyan yang memperlihatkan sifat pendendam yang terlalu mendalam.


Bukankah Tan Sri anak seorang ulama terkenal di Muar, tak baik ada menyimpan sifat dendam dalam hati?


Dua isu yang diungkapkan Muhyiddin sebagaimana dilaporkan media pastinya membuatkan ramai yang geleng kepala terhadap beliau.


Pertama, Muhyiddin  berkata, perlantikan Naib Presiden PAS,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau Dr Sam sebagai Pengerusi PN bukan jaminan Menteri Besar Terengganu itu bakal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.


Katanya, perlantikan sebagai Pengerusi PN adalah isu yang berbeza dengan calon Perdana Menteri.


Sebagai pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri tetapi ditanggapi gagal oleh banyak pihak, Muhyiddin sepatutnya mengalu-alukan Dr Sam sebagai calon Perdana Menteri bagi PN.


Beliau tidak perlu bercakap yang memberi gambaran menolak Dr Sam yang kini adalah Pengerusi PN sebagai calon Perdana Menteri.


Apakah apabila Tan Sri menyebut bahawa Dr Sam tiada jaminan dipilih sebagai calon Perdana, ia memberi maksud agar Tan Sri ada peluang untuk mengisinya?


Sudah-sudahlah Tan Sri, kalau Pengerusi PN dikatakan tiada jaminan untuk dijadikan calon Perdana Menteri, insaflah bahawa bekas Pengerusi PN lagilah tiada jaminan sama sekali.


Pun begitu, dalam kedudukan PN ketika ini, setelah Dr Sam dilantik menerajui gabungan itu, akuilah bahawa tiada calon Perdana Menteri yang lebih tepat selain daripada Naib Presiden PAS itu.


Beliau memiliki pakej yang hampir sempurna, lebih baik berbanding Perdana Menteri semasa dan mampu menjana lebih potensi kemenangan buat PN.


Dalam hal ini Muhyiddin sepatutnya bersikap seperti negarawan dan berperanan meletakkan PN ke jalan yang lebih mudah untuk memenangi PRU akan datang, bukan mempersulitkannya.


Caranya tidak lain ialah dengan menyokong atau lebih terpuji jika secara terbuka mencadangkan nama Dr Sam sebagai “poster boy” PN pada PRU akan datang.


Isu kedua yang dilaporkan yang turut membuang orang geleng kepala dengan Muhyiddin ialah kenyataannya ingin menyekat kemasukan parti yang diterajui Hamzah Zainuddin untuk menyertai PN.


“Kalau dia hendak cari haluan, itu hal dialah. Saya tak nak campur tangan. 


“Tapi kalau dia nak masuk PN... saya akan jawab “tidak boleh” sebab once bitten twice shy (sekali dikhianati kena waspada),” demikian beliau dipetik sebagai berkata. 


Sedarkah Muhyiddin apa yang diucapkannya  itu?


Apakah beliau ingat beliau masih lagi Pengerusi PN?


Dengan parti Hamzah - Parti Keluarga Malaysia - masih dalam proses pengambil-alihan dan belum pun memohon menyertai PN, tetapi dengan Muhyiddin sudah lebih awal mahu menolak penyertaannya ke dalam gabungan itu, sekali lagi, ini juga sifat pendendam yang begitu mendalam ada dalam dirinya.


Apa lagi yang Muhyiddin tak puas hati dengan Hamzah, bukankah Bersatu yang dipimpinnya sudah memecat keahlian Ahli Parlimen Larut itu?


Sama ada parti Hamzah diterima atau tidak menyertai PN, biarlah gabungan itu menentukannya.


Ini tidak, Pengerusi PN belum bercakap apa-apa, bekas Pengerusi PN pula yang lebih-lebih.


Sudah-sudahlah Tan Sri, Tan Sri bukan lagi Pengerusi PN.


Tetapi jangan lupa, matlamat PN ialau untuk memenangi PRU akan datang dan siapa jua yang boleh memberi nilai tambah atau mampu meningkatkan potensi PN menang PRU16, pihak tersebut tidak seharusnya dibiarkan begitu saja.


Dalam hal ini, Dr Sam yang menerajui PN dan PAS yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam gabungan itu, tentunya lebih arif menilai siapa yang boleh dibawa masuk sebagai komponen tambahan bagi memungkinkan kemenangan lebih mudah dicapai.


Namun, dengan awal-awal lagi Presiden Bersatu itu sudah mahu menghalang kemasukan parti yang berpotensi mempunyai nilai tambah kepada PN, siapa yang sebenarnya Muhyiddin mahu menang PRU16 akan datang? - ShahbudinHusin 04Mac2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1229431752513275&id=100063393840098




No comments: