Polis mengesahkan dua individu kontroversi yang disiasat melibatkan kes ketenteraman awam dan sensitiviti agama, telah melarikan ke Thailand.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua suspek iaitu penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri telah meninggalkan negara dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Menurut beliau, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India, telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Bagi kes melibatkan Tamim pula, tindakan aktivis itu yang merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosakkan atau mencemarkan benda yang dianggap suci oleh mana-mana golongan agama.
“Kedua-dua suspek akan didakwa dalam tempoh terdekat sebaik sahaja mereka berjaya dikesan dan dibawa pulang ke negara ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi
Mohd. Khalid menegaskan, PDRM komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
No comments:
Post a Comment