Oleh : Mohd Najib Hashim
Dalam politik, apa yang berlaku hari ini jarang benar-benar tentang hari ini. Secara umum boleh dibaca sebagai hampir selalu tentang hari esok.
Sebab itu apabila muncul spekulasi bahawa DAP mungkin meninggalkan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim, persoalannya bukan sekadar cukup atau tidak cukup angka di Parlimen.
Tulisan ini akan cuba merungkai siapa sedang menyusun papan catur untuk pilihan raya akan datang?
Dan perlu diingatkan tidak semua langkah politik bertujuan menjatuhkan kerajaan. Ada langkah yang bertujuan menyelamatkan parti.
Jika DAP memilih untuk keluar, tindakan ini boleh dilihat sebagai tindakan drastik.
Tetapi dalam politik, tindakan drastik kadang-kadang adalah cara paling selamat untuk jangka panjang.
Terutamanya jika parti merasakan imejnya semakin kabur dalam kerajaan yang serba kompromi.
Puluhan tahun dalam massa politik Malaysia, DAP tentu amat tahu satu perkara bahawa kekuatan mereka bukan di luar bandar.
Kekuatan mereka di bandar. Dan di bandar, pengundi tidak semestinya mengundi kerana kestabilan. Mereka mengundi kerana prinsip, naratif dan sikap yang konsisten terhadap apa yang diperjuangkan.
Jika sentimen bandar mula melihat DAP terlalu senyap, terlalu kompromi percayalah bahawa itu bahaya jangka panjang.
Maka keluar kerajaan boleh dibingkai sebagai kembali kepada asas perjuangan. Tetapi politik tidak pernah sesederhana itu.
Jika keluar, DAP mungkin hampir pasti “tapau” kawasan bandar. Itu bukan isu besar. Isu besarnya ialah selepas menang, mahu ke mana?
Menjadi pembangkang sekali lagi? Pengundi Cina bukan lagi pengundi tahun 1990-an. Mereka lebih strategik. Mereka mahu pengaruh dalam kerajaan, bukan sekadar suara di luar.
Masuk politik untuk memerintah, atau sekadar bersuara? Soalan itu tidak boleh dijawab dengan slogan.
Sekarang bayangkan senario kedua. DAP keluar. Kerajaan kekal dengan majoriti tipis. PKR dan UMNO menjadi paksi utama.
Di sinilah permainan sebenar bermula.
PN hilang senjata(sub
Tanpa DAP dalam kerajaan, senjata utama PAS dan Bersatu untuk memainkan sentimen “kerajaan dikuasai Cina” akan tumpul.
Selama ini naratif mereka jelas: UMNO tunduk kepada DAP, Melayu tergadai.
Jika DAP bertanding solo, naratif itu menjadi kurang meyakinkan.
Apakah Perikatan Nasional(PN) yang ditunjangi PAS dan Bersatu bersedia menghadapi pilihan raya tanpa isu keramat tersebut?
Kerana politik Malaysia banyak digerakkan oleh persepsi ancaman. Jika ancaman kabur, emosi sukar digerakkan. Dan jika emosi tidak memuncak, undi protes mungkin tidak semudah dahulu.
Tetapi jangan terlalu cepat menyangka laluan PKR–UMNO akan menjadi mudah.
Pembahagian kerusi akan menjadi medan paling senyap tetapi paling tegang. UMNO pasti mahu memonopoli kawasan luar bandar dan tradisi. Itu wilayah maruah.
PKR pula mahu mempertahankan kawasan campuran. Dan tanpa DAP, kawasan bandar menjadi rebutan terbuka.
Di sinilah MCA akan mula melihat peluang. Tanpa DAP dalam kerajaan, MCA boleh menawarkan diri sebagai suara Cina dalam kerajaan. Soalnya, adakah pengundi bandar bersedia memberi peluang kedua?
Politik memberi ruang, tetapi pengundi memberi mandat. Dua perkara itu tidak semestinya bergerak seiring.
Belum lagi kita sentuh faktor dalaman PKR. Nama Rafizi Ramli bukan nama kecil dalam politik bandar. Jika kelompok yang cenderung kepadanya merasakan hala tuju kerajaan terlalu pragmatik dan kurang reformis, medan boleh berubah.
Bayangkan jika berlaku pertembungan naratif: kerajaan mempertahankan kestabilan, sementara blok Rafizi–DAP mempertahankan idealisme. Di bandar, idealisme tidak pernah mati sepenuhnya.
Dan apabila muncul hujah bahawa reformasi sudah menjadi “reforbmati”, ia bukan sekadar sindiran. Ia serangan terhadap legitimasi moral.
Serangan seperti ini sukar dipatahkan dengan angka ekonomi semata-mata.
Dalam semua senario ini, satu perkara jelas, siapa mengawal naratif, dia mengawal mood. Dan mood menentukan undi.
Jika DAP keluar, mereka akan berkata: kami tidak mahu menjadi hiasan dalam kerajaan. Jika kekal, mereka akan berkata: kami bertanggungjawab menjaga kestabilan.
Kedua-duanya boleh dijual. Tetapi pengundi semakin cermat membaca niat.
Politik hari ini bukan lagi tentang siapa bercakap paling kuat. Ia tentang siapa paling konsisten dengan cerita sendiri.
Dan di hujungnya, persoalan paling besar bukan sama ada DAP keluar atau tidak.
Persoalannya, siapa paling bersedia menanggung risiko hari esok?
Kerana dalam politik, langkah yang kelihatan berani hari ini mungkin hanya usaha mengelak hukuman esok hari.
Dan dalam percaturan ini, tiada siapa benar-benar bermain untuk hari ini. Semua sedang menyusun alasan untuk esok.
Cuma bezanya, ada yang menyusun strategi. Ada yang sekadar menyusun helah.
Dan pengundi lambat atau cepat akan tahu membezakannya.
***MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan.
No comments:
Post a Comment