26 Februari 2026
Selepas Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada Bersatu kini dikatakan sedang dalam proses mengambil alih Berjasa sebagai wadah baharu perjuangan politiknya, Rafizi Ramli juga ternampak sedang menuju laluan yang sama.
Secara kebetulan, kedua-duanya adalah orang nombor dua sebelum ini - Hamzah, bekas Timbalan Presiden Bersatu manakala Rafizi, bekas Timbalan Presiden PKR.
Rafizi memberi isyarat bahawa penyokong PH mungkin mempunyai sesuatu yang boleh dinantikan daripadanya menjelang Jun akan datang.
Dalam temu bual dengan BFM yang disiarkan semalam, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau dan sekutunya terbuka untuk "membawa haluan sendiri".
Ditanya sama ada haluan ini akan melibatkan penubuhan parti, Ahli Parlimen Pandan itu menjawab, mereka mahu memberi "pilihan" kepada pengundi, terutamanya golongan muda, namun bentuknya hanya akan diputuskan dalam beberapa bulan lagi.
"Kami sedang melihat angka, kami melihat segala kemungkinan, pelbagai kemungkinan konfigurasi politik. Tetapi saya rasa anda akan mendengar lebih banyak daripada kami selepas Jun.
“Bagi mereka yang merasakan 'ini sudah berakhir, saya tidak ada pilihan untuk mengundi siapa'... kerana saya rasa begitulah cara saya terjun ke politik pada 1998. Saya mahukan pilihan.
"Jadi saya mahu memastikan generasi muda terutamanya tidak dinafikan pilihan tersebut," katanya.
Berkaitan Hamzah pula, ura-ura beliau akan mencari ‘rumah baharu’ mula kedengaran sejak dipecat daripada Bersatu.
Ahli Parlimen Larut itu dijangka mengambil alih sebuah parti politik lama iaitu Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) sebagai ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat.
Beliau bersama 16 Ahli Parlimen dan beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat dijangka menyertai parti berkenaan menerusi pengumuman rasmi yang bakal dibuat pada masa sesuai.
Bekas Ahli PimpinanTertinggi Bersatu Yunus Nurdin berkata, ‘rumah baharu’ itu merupakan parti politik lama yang bakal diambil alih Hamzah bagi membolehkannya menjadi pemimpin utama parti.
Namun beliau tidak memperincikan butiran lebih lanjut parti tersebut.
“‘Rumah baharu’ itu memang ada, ia merupakan parti lama tetapi akan diambil alih oleh Hamzah. Pengumuman akan dibuat nanti dan kami semua akan menyertainya.
“Bagi yang sudah dipecat tidak mempunyai masalah untuk masuk ke ‘rumah baharu’. Bagi yang belum dipecat mungkin belum boleh menyertai lagi, namun saya yakin proses pemecatan itu akan berlaku,” katanya sebagaimana dilaporkan Utusan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan pula dipetik erkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu Hamzah itu bakal disertai sama oleh ketua-ketua bahagian Bersatu yang sebelum ini sudah pun menyatakan sokongan terhadap Hamzah.
Dengan perkembangan ini, sekurang-kurangnya ada dua parti baharu menjelang PRU16 akan datang.
Sementara Hamzah dijangka akan membawa partinya untuk menyertai PN, langkah Rafizi belum jelas setakat ini.
Adakah beliau dan partinya akan bergerak solo tanpa menyertai mana-mana gabungan dan kemudian bersedia untuk menjadi ‘king maker’ bagi pembentukan kerajaan baharu?
Sama-sama kita tunggu, sementara itu jangan lupa tonton dulu podcast Rafizi yang ke udara pada setiap Jumaat malam. - ShahbudinHusin 26Februari2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1224507333005717&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment