Beberapa hari lepas anak jiran saya terlibat kemalangan jalanraya. Kecederaan agak parah. Perlu rawatan hospital. Masih muda. Budak baik. Keluarga pun orang baik-baik.
Ini mungkin kali ke-4 atau 5 saya menulis isu yang sama.
Kebanyakan kemalangan maut atau kecederaan parah adalah melibatkan motosikal. Mungkin lebih 80% kemalangan jalanraya yang serius adalah melibatkan penunggang motosikal. Bayangkan jika kita dapat elakkan kecelakaan ini. Betapa besarnya manfaat buat rakyat.
Setiap kali saya memandu di jalanraya, saya sering terfikir bahawa jalanraya adalah perangkap maut buat para penunggang motorsikal. Hampir setiap hari ada sahaja kemalangan melibatkan motosikal.
Sepanjang hayat saya memandu, sudah berpuluh kali saya melihat tubuh terkujur di atas jalanraya dari kalangan penunggang motosikal. Setiap kali itu jugalah saya berdoa tidak ada ahli keluarga saya yang terpaksa naik motosikal untuk meneruskan kehidupan.
Apa solusinya?
Dari dulu lagi saya berpandangan membenarkan penunggang motosikal berkongsi jalan dengan kenderaan lain yang lebih berat adalah satu bentuk pembunuhan bersiri.
Motosikal perlu ada laluan sendiri. Kerajaan perlu usaha untuk bina laluan khas yang selesa dan selamat buat penunggang motosikal. Ia perlu dibuat secara mandatori melalui perundangan dan penguatkuasaan yang tegas.
Faktanya jelas di hadapan mata. Jika penunggang motosikal berkongsi jalan dengan kenderaan lain yang lebih berat, ramai isteri jadi janda, suami jadi duda, anak jadi yatim piatu, ibubapa meratapi kematian anak. Anak-anak muda cacat kekal ke akhir hayat.
Angkanya meningkat setiap hari sehinggalah sesuatu yang drastik dilakukan.
No comments:
Post a Comment