JIKA DUA ORANG NI BERGANDING, MELINGKUPLAH MALAYSIA.




 GANDINGAN DR SAM - HAMZAH PALING MANTAP UNTUK MEMUNGKINKAN PUTRAJAYA DAPAT DIGAPAI


24 Februari 2026


Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hasan dipetik sebagai berkata, parti itu berhasrat untuk turut mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen.


Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata,  PAS mempunyai hak untuk mengambilalih jawatan tersebut berdasarkan kepada jumlah kerusi terbesar dimilikinya dalam Parlimen.


“Ya, itu antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat PN sebentar tadi.


“Tapi belum ada keputusan lagi kerana PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebaik selesai mesyuarat PN, Ahad lalu.


Kenyataan Takiyuddin ini adalah susulan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi PN yang baru bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 1 Januari lalu.


 Berkaitan perkata di atas, memang tidak dinafikan bahawa PAS berhak menduduki kerusi Ketua Pembangkang yang sekarang dipegang Hamzah Zainuddin berdasarkan jumlah kerusi terbesar dimilikinya di Parlimen.


Pun begitu, harus juga disedari, kedudukan PAS memiliki kerusi terbesar di Parlimen itu bukan baru bermula semalam, tetapi sejak keputusan PRU15 pada November 2022 lagi.


Dengan itu, tidak berapa kena jika baru sekarang alasan memiliki kerusi terbesar itu mahu digunakan oleh PAS bagi tujuan mahu mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang. 


Mengapa tidak sejak dulu lagi PAS mengambil jawatan Ketua Pembangkang itu?


Jika pada tahun 2022 dulu Haji Hari Awang selaku Presiden PAS sendiri yang dikatakan menamakan Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang, kini setelah PAS menduduki jawatan Pengerusi PN, tentulah nampak lebih cantik kalau ia terus dikekalkan kepada Ahli Parlimen Larut itu?


Setidak-tidaknya PAS dilihat tidak ingin membolot segala-galanya, malah sedia berkongsi dan sentiasa berpegang kepada amalan “sharing is caring”.


Tidak ada apa-apa cacat cela  sebenarnya jika kedudukan Hamzah dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang kerana beliau bukan keluar daripada Bersatu untuk menyokong pihak lain, jauh sekali menentang PN, sebaliknya telah dipecat daripada partinya itu.


Namun demikian, meskipun dipecat daripada Bersatu, Hamzah bukan saja terus disokong oleh Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang sama-sama dipecat, tetapi juga oleh sejumlah besar Ahli-Ahli Parlimen yang masih kekal bersama parti itu.


Untuk tidak berselindung, daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu, 19 daripadanya (termasuk Hamzah dan 5 yang dipecat) adalah bersama Hamzah.


Ia bererti Hamzah memiliki jumlah sokongan Ahli Parlimen kedua terbesar selepas PAS yang memiliki seramai 43 orang dan lebih besar daripada Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu yang hanya tinggal 6 Ahli Parlimen bersamanya.


Ertinya, asalkan PAS setuju mengekalkan kedudukan Hamzah, tiada angin lain yang mampu menggoncang kedudukan Hamzah.


Selain itu, kedudukan Hamzah tidak berparti seperti sekarang ini hanyalah sementara saja, dalam satu dua bulan akan datang, “rumah baru” yang bakal dibinanya pasti akan siap.


Oleh kerana Hamzah bersama Ahli-Ahli Parlimen yang menyokongnya, termasuk daripada Bersatu tetap menyokong PN, malah mengalu-alukan perlantikan Dr Sam sebagai Pengerusi PN, ini juga menunjukkan tiada masalah untuk “rumah baru” beliau itu diterima sebagai komponen PN selepas ini.


Dengan khabar juga, bersama “rumah baru” Hamzah diterima menjadi komponen PN nanti, ada lagi parti-parti lain yang akan mengesahkan untuk bersama gabungan itu.


Dengan itu, untuk keuntungan yang lebih besar dan memungkinkan peluang lagi cerah buat PN memenangi PRU16 dan menawan Putrajaya, gandingan Ahmad Samsuri (Dr Sam) dan Hamzah haruslah dijadikan realiti.


Gandingan Dr Sam - Hamzah adalah gabungan paling mantap dan paling cocok serta mampu menambahkan keyakinan kepada rakyat untuk memenangi PRU akan datang.


Di samping itu, gandingan tersebut juga dipercayai berupaya mencetuskan gerak kerja kempen yang lebih menyerlah, selain mampu menarik lebih sokongan pelbagai kelompok pengundi yang lain kepada PN.


Gandingan semantap itu tidak mungkin berlaku jika Dr Sam sebagai Pengerusi PN dipasangkan dengan pemimpin PAS yang lain sebagai Ketua Pembangkang.


Dalam hal ini, PAS hendaklah sekali lagi berjiwa besar dan berlapang dada bersandarkan kerusi terbesar dimilikinya dalam blok pembangkang untuk memanfaatkan kedudukan itu bagi mengekalkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Hamzah.


Terpaling penting, apabila PN dibawah teraju Dr Sam berjaya memenangi PRU16 dan menjadi kerajaan nanti, yang untung ialah Islam yang selama ini diperjuangkan oleh PAS. - ShahbudinHusin 24Februari2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1222852706504513&id=100063393840098



No comments: