Perlantikan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN merupakan suatu sejarah baru bagi PAS.
Ini kerana dalam semua gabungan politik yang pernah wujud sebelum ini di mana PAS menyertainya, parti itu tidak pernah diberikan peranan sebagai ketua, walaupun dalam menyediakan pentas ceramah, menggerakkan jentera pilihan raya atau memeriahkan sebarang acara perhimpunan, PASlah penyumbang terbesarnya.
Baik ketika bersama dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat, PAS hanya berperanan sebagai pemimpin kedua.
Kini dengan memiliki jumlah kerusi terbesar di Parlimen, memang sesuai sangatlah PAS memikul peranan mengetuai PN.
Bersama PAS yang mencipta sejarah, perlantikan Ahmad Samsuri atau Dr Sam juga merupakan suatu sejarah kerana beliau adalah pemimpin pertama PAS yang ditakdirkan tercatat dalam sejarah itu.
Lagi pula, dengan Dr Sam diberi peranan tersebut, ia sekaligus memberi gambaran PAS kini sudah sedia untuk menerajui Putrajaya selepas PRU16 akan datang.
Kenapa Dr Sam yang dilantik mengetuai PN, sedangkan kedudukannya banyalah Naib Presiden PAS saja?
Sebelum ini lagi sebenarnya, selain Haji Hadi selaku Presiden PAS menolak untuk dilantik sebagai Pengerusi PN atas faktor keuzuran, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Sanusi Mohd Nor juga menolak jawatan tersrbut.
Masing-masing ada alasan tersendiri menolaknya, manakala hanya Dr Sam yang tampak sedia memikulnya.
Dengan sebab itulah, sesuai dengan ketetapan Muktamar PAS berkaitan hal tersebut, selain parti-parti komponen PN juga setuju sebulat suara memilihnya selepas perletakan jawatan Muhyiddin Yassin disahkan, maka dilantiklah Dr Sam sebagai Pengerusi PN yang baru.
Dalam konteks PN dan parti-parti komponen PN, tiada sebarang isu berkaitan perlantikan Dr Sam.
Yang terasa panas hanyalah parti di luar PN sambil mereka cuba mencipta pelbagai persepsi dan gambaran yang pra-matang seperti belum banyak pengalaman sebagai Ahli Parlimen dan tidak ada pengalaman pentadbiran di peringkat pusat?
Tidak banyak pengalaman sebagai Ahli Parlimen bukan alasan kukuh, yang penting beliau mempunyai pengalaman pentadbiran hampir dua penggal memimpin sebuah negeri.
Realitinya, dengan latar belakang akademiknya yang terbaik, tiada kontroversi, berjaya memimpin Terengganu menuju penggal kedua dengan aman, mempunyai penampilan tenang, tidak gopoh dan tidak terjerit-jerit, apa lagi kerajaan semasa terlalu banyak isu yang bukan saja selesai malah merimaskan rakyat, PN di bawah kepimpinan beliau diyakini mampu menjelmakan kemenangan yang diharap-harapkan.
Cuma sebagai ketua PN, sebuah gabungan yang menjadi sandaran harapan PN, Dr Sam selepas ini haruslah lebih ke depan dalam isu-isu nasional yang melanda negara.
Beliau tentunya memerlukan pasukan penasihat yang baik, yang bukan saja daripada PAS, tetapi juga merangkumi semua parti komponen PN agar segala tindakan atau kenyataannya selari dengan kepentingan gabungan itu.
Oleh kerana beliau sedang memimpin kerajaan Terengganu, tentulah selepas ini beliau perlu bijak membahagikan masanya agar kepentingan negeri yang dipimpinnya dan PN yang diketuainya untuk menawan Putrajaya sama-sama beroleh kejayaan.
Dengan dibantu dan diberi kerjasama oleh banyak pihak, Dr Sam pasti mampu mengemudi PN dengan cemerlang selepas ini.
Harapan umum berdasarkan dapatan di media sosial sendiri boleh dikata positif terhadap kehadirannya sebagai ketua baru PN ini.
Kalau apa pun catatan negatif, ia hanyah daripada kelompok yang bimbang kehilangan kuasa atau mereka yang sedang resah parti mereka akan hilang banyak kerusi pada PRU akan datang.
Secara umum wajah Dr Sam adalah wajah harapan kepada rakyat buat PN untuk menuju kemenangan pada PRU16.
Selain pengundi Melayu/Islam tentunya lebih teruja, kelompok lain seperti pengundi bandar dan profesional serta bukan Melayu juga pasti lebih mudah menerimanya sebagai sosok yang diyakini.
Dengan Dr Sam kini mengetuai PN, yang perlu selepas ini ialah kerja keras, mengekalkan perpaduan dan menyusun “strategi perang” yang berkesan bagi memastikan “tropi kemenangan” yang ingin dikejar benar-benar mampu dihadirkan ke dalam dakapan. - ShahbudinHusin 24Februari2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1222524416537342&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment