PERSIDANGAN RUSSIA DAN DUNIA ISLAM.


 Pagi tadi saya mengadiri ‘Persidangan Rusia dan Dunia Islam: Dialog Rusia-Dunia Islam Di Era Multipolar’ yang turut dihadiri sahabat karib saya Rais Tatarstan iaitu Rustam Nurgaliyevich Minnikhanov dan pemimpin dunia Islam yang lain. 








Saya sentuh mengenai kenyataan yang dibuat Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin kepada kita yang diikuti rapat Rais Tatarstan bahawa situasi dunia yang kita hadapi sekarang ini adalah yang paling mencabar. Namun, kita yakin melalui kerjasama yang ampuh dan strategik antara negara-negara, khususnya negara-negara Islam serta negara-negara sahabat yang lain betapa kita punyai kekuatan bagi membentuk persefahaman dan pakatan baru yang lebih utuh. 


Atas premis yang sama, maka Malaysia memilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar inisiatif BRICS. Melalui penyertaan ini, Malaysia berharap untuk memperkukuh suaranya serta melonjak peranan negara-negara membangun dalam memungkinkan sebuah tatanan dunia (world order) yang lebih adil dan seimbang.


Sebagai tuan rumah kepada persidangan ini, saya ucap penghargaan yang setingginya kepada Rais Tatarstan. Persidangan seperti ini amat penting kerana ia membuka peluang kepada kerjasama strategik antara negara-negara peserta. Malaysia percaya bahawa hanya melalui kerjasama yang erat kita dapat mempertahankan hak dan suara kita secara bebas dalam persekitaran dunia yang melaju ke arah persekitaran yang pelbagai kutub (multipolarity). 


Namun, kita masih dirundung dengan pelbagai isu dan konflik, dan persidangan seperti ini lantas menjadi terpenting sebagai medan dialog dan wacana yang ampuh di era yang diselaputi pelbagai tragedi besar yang menimpa umat manusia secara keseluruhan dari Gaza hingga ke sebahagian benua Eropah. 


Sebagai negara yang menjunjung kedaulatan dan kebebasan dalam dasar luarnya, Malaysia akan terus berusaha untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendukung keamanan, keadilan, dan pembangunan global.


#MalaysiaMADANI