Angan-Angan PN Makin Tak Kesampaian


Penubuhan Syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. hanya berstatus ‘syarikat bernilai RM2’ tanpa apa-apa kepakaran dan pengalaman mengurus keuntungan daripada operasi ekonomi sejak dilancar pada 2 September lalu.

MINDA PENGARANG, 18 Dis – Manusia sememangnya tidak salah malah dikatakan boleh saja bermimpi di siang hari atas apa sahaja hasrat atau matlamat lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal politik dan negara.

Angan-angan Perikatan Nasional (PN) seperti kita semua sedia maklum berhasrat untuk merampas Putrajaya dari tangan Kerajaan Perpaduan dengan membawa Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat utama dalam strategi mereka memang tidak salah sama sekali.

Namun mereka terlupa yang langkah ini menimbulkan keraguan banyak pihak, terutama apabila merujuk kepada sejarah pemerintahan Dr Mahathir yang dipandang gagal dalam aspek pembangunan ekonomi orang Melayu sejak era 1981 hingga 2003 dan pada 2018 hingga 2020.

Sebagai Perdana Menteri selama lebih dua dekad, Dr Mahathir memimpin negara melalui beberapa fasa ekonomi yang penting, namun pembangunan ekonomi untuk kaum Melayu dan masyarakat Bumiputera secara keseluruhannya banyak dipersoalkan.

Tanpa menafikan sumbangan panjang semasa pemerintahan beliau termasuk memperkenalkan pelbagai dasar, termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu, namun, pelaksanaan dasar tersebut seringkali didakwa tidak mencapai matlamatnya sepenuhnya.

Walaupun wujud kemajuan dalam beberapa sektor, golongan Melayu masih berada dalam kedudukan ekonomi yang jauh tertinggal berbanding kaum-kaum lain. Banyak pengkritik berpendapat bahawa dasar tersebut gagal memberi kesan jangka panjang yang dapat memperkukuh kedudukan ekonomi Melayu secara holistik.

Bahkan, ramai yang melihat Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang lebih memberi tumpuan kepada pembangunan industri besar dan projek-projek mega berbanding memperkasakan ekonomi masyarakat akar umbi.

Itu belum lagi dikira dasar penswastaan negara yang amt merugikan rakyat dalam jangka masa panjang terutamanya melibatkan sektor penting seperti tenaga, lebuh raya bertol dan pengangkutan.

Menambahkan lagi persoalan ialah kerapuhan sistem ekonomi yang wujud semasa beliau berkuasa, yang turut dipengaruhi oleh faktor ketidakstabilan politik dan ekonomi global.

Dalam konteks ini, meletakkan Dr Mahathir sebagai penasihat kepada PN boleh dilihat sebagai langkah yang bercanggah dan ke belakang dengan matlamat parti itu kononnya mahu menawarkan perubahan dan pembaharuan tetapi tidak akan berjaya.

Kebergantungan kepada tokoh berusia hampir 100 tahun yang telah berulang kali gagal membawa perubahan ekonomi yang berkesan kepada orang Melayu menimbulkan keraguan terhadap komitmen sebenar PN dalam memperbaiki nasib golongan tersebut.

Sementara itu, Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengorak langkah menegaskan komitmen mereka untuk memperkasa ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya menerusi penekanan kepada keadilan sosial dan pembangunan inklusif.

Kerangka Ekonomi MADANI membolehkan dasar pengagihan kekayaan lebih saksama dilaksanakan di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jauh lebih baik berbanding penubuhan SG4 yang tiada arah tuju sehingga kini.

Kerangka Ekonomi MADANI yang diluncur pada Julai tahun lalu sudah jelas tidak dapat ditiru atau diaplikasikan pembangkang dengan buktinya tiada satu pun Belanjawan Alternatif ditawarkan kepada rakyat sejak 2023.

Dalam hal ini, pendekatan PN yang berteraskan kepemimpinan Dr Mahathir dilihat sebagai langkah mundur, yang mungkin hanya akan memperburuk keadaan ekonomi, terutamanya bagi orang Melayu sendiri.

Lihat sahaja apa yang terjadi dengan Syarikat State Goverment (SG4) Group Sdn Bhd kononnya mahu menyaingi kerangka Ekonomi MADANI, namun sehingga kini syarikat kononnya memiliki pegangan sama rata 25 peratus di kalangan empat negeri pembangkang umpama hidup segan, mati tak mahu.

Dengan asas kononnya mahu memberi kekayaan sama rata kepada semua negeri dan membantu Perlis yang jauh ketinggalan, isu utama yang tidak dapat dirungkai adalah apakah Terengganu yang awal-awal lagi berkata hasil negeri tidak termasuk dalam keuntungan syarikat itu, jadi dari mana datangnya untung untuk diagihkan kepada negeri lain?

Bagaimana pula dengan kedudukan syarikat di Kelantan yang tidak banyak beza dengan syarikat di Perlis dari segi pertumbuhan ekonomi negeri? Adakah syarikat itu berdaya maju apabila hanya ekonomi di Kedah dan Terengganu sahaja yang menyumbang kepada keuntungan syarikat itu?

Mahathir terlupa pengagihan kekayaan kepada negeri-negeri dalam SG4 tidak sama pendekatannya dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang lebih bersifat inklusif termasuk memberi kelonggaran kepada PETROS di Sarawak mengurus hasil gas di negeri itu dari tangan PETRONAS.

Lalu apa yang boleh diharapkan daripada pemimpin yang telah gagal malah hilang wang deposit semasa bertanding pada PRU-15 di Langkawi tapi tiba-tiba mahu menjadi ‘jaguh orang Melayu’?