Pengurangan hukum Najib: Hormati keputusan Agong, Lembaga Pengampunan

 



Rakyat dan pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman atau mahu bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak dibebaskan sewajarnya menghormati keputusan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.



Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, keputusan telah pun dibuat dalam lembaga yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang undang dan 3 penasihat yang dilantik Agong baru baru ini.



"Seperti kita maklum, Perkara 42 (1) Perlembagaan menetapkan bahawa tuanku mempunyai kuasa membuat sebarang keputusan dan kita hormat keputusan yang telah dibuat.



"Memang sebarang keputusan akhirnya adalah kuasa tuanku. Tetapi saya sedia maklum pandangan disampaikan oleh rakan rakan.



"Seperti yang disebut oleh PM sendiri dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan maka ada beberapa perkara yang boleh disusuli, dan saya percaya di pihak kerajaan kita ambil maklum reaksi, ada yang setuju dan tidak setuju," katanya kepada media di Pahang, pagi ini.



Menurut Fahmi, perbuatan mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong berkenaan pengurangan hukuman ke atas Najib sejak semalam perlulah dihentikan sama sekali kerana hal pengampunan itu merupakan kuasa mutlak di bawah Perlembagaan.



"Ini adalah kuasa tuanku dan tidak boleh dipersoal di mahkamah. Kalau di mahkamah tak boleh dipersoal saya pohon kita hormat keputusan ini.



"Namun ada beberapa yang boleh kita teliti, termasuk lembaga parol, termasuk permohonan baharu contohnya kepada Lembaga Pengampunan," ujarnya. Bagaimanapun hal itu kata beliau terlalu awal untuk diulas.



Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi juga menegur pemimpin mahu pun ahli KEADILAN yang membuat komen tanpa berfikir panjang.



Katanya, mereka seharusnya menghormati rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

Manakala dalam kes Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang baru baru ini mengkritik urusan dalaman UMNO, Fahmi berkata, beliau telah mengeluarkan amaran keras mengenainya.



"Saya mahu memberi teguran kepada beberapa pimpinan politik, mungkin termasuk daripada parti saya sendiri. Saya rasa kita semua perlu bermuhasabah dan tidak terlalu pantas memberi komen. Terutama ada pihak (pembangkang) menangguk di air keruh.



"Dalam kes YB Hassan Karim, MP Pasir Gudang, tetapi beliau agak lantang dalam beberapa perkara. Bagi saya pendapat beliau itu pandangan peribadi bukan mewakili parti. Saya ada berhubung dengan beliau dan membei teguran keras tentang perkara ini," katanya.



Kelmarin Hassan memberikan pandangan yang mencetuskan kemarahan pemimpin UMNO dan dianggap mencampuri urusan dalaman parti tersebut.

 

No comments: