Pengurangan hukuman ke atas Najib hak Agong - William Leong



 


Oleh: Abdullah Zaid



Pengurangan hukuman penjara dan denda ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak merupakan hak Yang di-Pertuan Agong.



Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen kuasa pengampunan termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.



Agong dalam Perlembagaan boleh memberi pengampunan penuh atau mengurangkan jumlah hukuman serta denda selepas baginda mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan.



"Selain itu keputusan berkenaan mengambil kira status Najib Razak yang sebelum ini telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan berjasa kepada negara," katanya kepada Suara Keadilan.



Malah, menurut beliau, fungsi Lembaga Pengampunan adalah berbeza dengan mahkamah dan lebih kepada memberikan belas kasihan kepada pesalah.



"Sebelum ini kita telah melihat ada ahli politik yang disabit kesalahan membunuh dan dihukum mati tetapi diberikan pengampunan atas khidmat sebagai Ahli Parlimen.



"Oleh itu, saya fikir adalah munasabah walaupun tidak ada boleh mencabar tetapi kita mengambil kira jasanya yang pernah berkhidmat kepada negara," ujar beliau yang juga seorang peguam terkenal.



Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memutuskan bekas Presiden UMNO Najib Razak dikurangkan hukuman penjara daripada enam tahun ke 12 tahun sedang dijalaninya sejak 2022 diberi pembebasan awal.



Manakala denda bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.



Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kuasa baginda di bawah Perkara 42(4) (a) dibaca dengan Fasal (3) Perkara 40 Perlembagaan, yang menyatakan Agong bertindak dalam hal pengampunan selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.



Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.



Hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

 


No comments: