MESKI PENGUMUMAN RASMI PENGAMPUNAN NAJIB TIDAK LAGI MEMBAWA KEJUTAN, TAPI IA SERLAH KEBIJAKSANAAN AGONG

 

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya iaitu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Dalam kenyataan media itu, diumumkan secara rasmi bahawa hukuman penjara 12 tahun yang diterima Najib dikurangkan kepada 6 tahun., manakala denda RM210 juta pula diturunkan kepada RM50 juta.

Dengan itu, tarikh pembebasan Najib yang baru sekarang disahkan ialah pada 24 Ogos 2028.

Tetapi, jika denda RM50 juta yang telah dikurangkan itu gagal dibayar, hukuman penjaranya ditambah selama setahun lagi dan menjadikan tarikh pembebasannya dianjakkan kepada 23 Ogos 2029.

Kenyataan media itu dikeluarkan hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum solat Jumaat tengahari tadi membayangkan pengumuman rasmi mengenai pengampunan Najib akan diumumkan hari ini.

Walaupun kenyataan media oleh urusetia Lembaga Pengampunan ini akhirnya menjawab segala teka-teki mengenai pengampunan yang diterima Najib, namun ia tidak lagi memberi apa-apa kejutan atau suspen kepada orang ramai.

Ini kerana Media Singapura, Channel News Asia atau CNA lebih dulu iaitu tiga hari lalu, telah membocorkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Meski CNA hanya menyebut hukuman penjara Najib dikurangkan sebanyak separuh daripada 12 tahun yang diterimanya, sementara denda RM210 juta pula diturunkan kepada jumlah yang tidak ditentukan, setidak-tidaknya apa yang mereka laporkan itu 99 peratus tepat.

Bagaimanapun di waktu yang sama, dalam banyak Grup Whatsapp, pengurangan jumlah denda kepada RM50 juta itu telah menjadi sebaran yang meluas sejak beberapa hari lalu.

Dengan itu, tiada siapa lagi yang terkejut, suspen atau menangis dengan berita rasmi mengenai pengampunan Najib oleh Urusetia Lembaga Pengampunan pada petang ini.

Ia semacam soalan periksa yang telah bocor jawapannya.

Dengan keputusan Lembaga Pengampunan itu, harapan dan kepercayaan sesetengah pihak bahawa Najib akan dibebaskan serta boleh kembali aktif dalam politik secara serta merta selepas ini, ternyata tidak menjadi kenyataan.

Najib kini hanya dikurangkan hukuman dan denda, tetapi perlu terus berada di Penjara Kajang untuk menghabiskan tempoh hukumannya.

Di sebalik barangkali masih ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan tersebut, tetapi jika diteliti dengan mendalam, inilah keputusan paling bijaksana yang diserlahkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam tugas terakhir baginda selaku Yang Dipertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.

Memutuskan bahawa Najib tidak diberi pengampunan penuh, sebaliknya hanya dikurangkan tempoh penjara dan jumlah denda yang diterimanya, adalah bukti jelas baginda mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa yang tentunya keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor semasa.

Antara faktor semasa yang tentunya diambil kira ialah kerana Najib baru saja kira-kira setahun lima bulan menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan terhadapnya.

Najib mula dihantar ke Penjara Kajang ialah pada 23 Ogos 2022.

Berdasarkan amalan atau konvensyen sebelum ini, pengampunan penuh hanya menjadi pertimbangan setelah seseorang itu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga atau separuh daripada hukuman penjara yang diterima.

Dalam erti kata lain, adalah tidak kena dengan masa dan tidak sesuai untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib di ketika hanya baru setahun lima bukan menjalani hukuman penjara, meski beliau merupakan bekas Perdana Menteri.

Ini sekali lagi membuktikan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah bersikap amat adil, teliti dan mengambil pertimbangan paling munasabah dalam membuat keputusannya iaitu tidak membezakan pengampunan antara rakyat biasa dengan orang yang ada nama.

Selain itu, Najib juga masih berdepan beberapa kes lain lagi yang sedang dihadapinya di mahkamah berkaitan skandal 1MDB.

Tentunya tidak cantik kelihatannya, malah mungkin dipersoalkan, jika beliau diberi pengampunan penuh dalam kesalahan berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB, tetapi kemudian perlu terus pergi ke mahkamah untuk menghadapi perbicaraan lain berhubung induk 1MDB itu sendiri.

Bagaimana jika dalam kes-kes lain yang sedang dihadapi perbicaraan itu, Najib nanti didapati bersalah juga akhirnya, sama seperti kes SRC International?

Takkan dua tiga kali beliau hendak diberi pengampunan?

Dengan itu, keputusan Lembaga Pengampunan terkait Najib iaitu hanya mengurangkan hukuman penjara dan denda hendaklah diterima dengan hati serta dada yang terbuka oleh semua, khususnya kaum keluarga dan penyokong-penyokong tegar Bossku yang harapan mereka nampaknya belum lagi kesampaian.

Maka, jangan ada yang marah-marah atau cuba menuding jari kepada sesiapa dengan keputusan ini. – ShahbudinHusin 02/02/2024.

 


No comments: