Konvensyen serlah rakyat terima baik Kerajaan Perpaduan


 

Oleh: Noraini Nordin



ANALISIS: Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Perak semalam telah berlangsung dengan jayanya dan boleh dikira mencapai matlamat yang disasarkan.



Bukan saja isu mengukuhkan lagi perpaduan menjadi tema utama perbincangan sepanjang konvensyen, bahkan ucapan empat pemimpin utama di majlis penutup jelas memperlihatkan bukan sahaja perpaduan itu mesti diperkukuhkan, bahkan kewujudan Kerajaan Perpaduan itu sendiri mesti dikekalkan.



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, perpaduan yang semakin kukuh kini menunjukkan Kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat di seluruh negara.



Tambahnya, ia malah turut mendapat dukungan yang padu daripada Sabah dan juga Sarawak.



Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal



Serentak itu, beliau yang juga Pengerusi PH mengingatkan agar mereka yang masih cuba mahu menjatuhkan kerajaan agar dapat menerima hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan kekal sehingga habis penggal.



Selain itu, tegasnya, perpaduan dalam kerajaan yang makin utuh turut menyebabkan Ahli ahli Parlimen blok pembangkang sendiri tidak lagi meyakini gabungan mereka.



Dengan itu, Anwar tidak menolak ada beberapa lagi Ahli Parlimen blok pembangkang akan tampil memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pada waktu terdekat.



Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN pula berkata, melalui perpaduan yang perlu diselaraskan untuk mencapai matlamat yang sama, apa jua konflik dan perbezaan pendapat akan dapat diatasi dengan mudah.



Sebab itu, penting agar diwujudkan keserasian dan perpaduan bukan saja dalam kalangan pucuk pimpinan, tetapi juga hingga ke peringkat akar umbi.



"Keikhlasan dan keserasian mewujudkan perpaduan inilah yang diwujudkan di Perak di mana kepimpinan BN dan PH sentiasa bekerjasama mensejahterakan negeri ini.



"Lihat sahaja dapatan ekonomi di Perak yang telah berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM1.21 bilion bagi tahun 2023 dan ini merupakan angka tertinggi dalam sejarah negeri," jelasnya lagi.



Pengerusi PH Perak, Senator Dr Mujahid Yusof Rawa pula menyatakan, setelah Kerajaan Perpaduan terbentuk, apa yang perlu dilakukan ialah menjadikan gelombang perpaduan lebih besar lagi menyebar ke seluruh negara.



Perpaduan lambang kekuatan



Katanya, selain perpaduan adalah tuntutan agama, ia juga merupakan lambang kekuatan, sementara perpecahan adalah kelemahan.



"Kesejahteraan dan hubungan kedamaian juga adalah impian setiap manusia dan untuk menuju ke arah itu, ia harus dimulakan dengan perpaduan," ujarnya.



Pengerusi BN Perak merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pada itu mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak terbentuk dengan mudah.



"Ia terdiri hasil hasil komitmen dan pengorbanan jitu pendukung kedua-dua gabungan iaitu BN dan PH untuk mengenepikan segala perbezaan dan merangkul semua persamaan demi masa depan negara," katanya.



Untuk itu berikutan penerimaan baik daripada rakyat terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan, katanya, ia mesti dikekalkan dengan sentiasa mengukuhkan lagi perpaduan sesama komponen.



Yang nyata, semua yang hadir tidak pulang dengan tangan kosong sebaik konvensyen berakhir.



Daripada ucapan dan penegasan pimpinan yang memberi pesan, ia mengukuhkan lagi perpaduan untuk mempertahankan kerajaan.

______________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

 



No comments: