MALAYSIA BOLEH – KAHWIN EMPAT UNTUK BINA EMPAYAR KUASAI TENDER KERAJAAN



Sanggup berkahwin empat untuk menubuhkan kartel syarikat bagi menguasai tender kerajaan, itu antara modus operandi dikesan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam siasatannya terhadap kegiatan tipuan bida.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Iskandar Ismail berkata ketika ini pihaknya menyiasat 500 syarikat dipercayai terbabit dalam kegiatan tipuan bida projek, salah satu bentuk kartel menyebabkan kerugian terhadap dana kerajaan.


Menurutnya, syarikat terbabit berkomplot dengan memasuki tender projek sama dan menentukan pemenang berdasarkan harga telah ditetapkan.

“Macam-macam mereka buat, ada yang kahwin empat supaya boleh bina empayar syarikat…contohnya syarikat A bapa mentua bini nombor satu pegang manakala syarikat B bapa mentua bini nombor dua…begitulah seterusnya.

“Mereka boleh cipta satu empayar 50 syarikat masuk sekali (tender), jadi mereka monopoli tender yang sepatutnya dibuat untuk mendapat syarikat menawarkan perkhidmatan berkualiti pada harga terbaik,” katanya dalam temu bual dengan Astro Awani.

“Tetapi mereka buat satu ilusi bahawa itu yang terbaik, bila menang mereka sub kepada orang lain.”

Ismail berkata MyCC pada masa ini juga memfokuskan kepada komplot bidang makanan dan pertanian yang dapat dilihat menerusi denda berjumlah RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk “kartel makanan ayam” untuk menetapkan harga.

Bagi meningkatkan fungsi MyCC dalam mencegah kartel, beliau berkata pihaknya merancang menambah 60 pegawai penyiasat pada tahun depan menerusi peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan 2024.

“Ketika ini hanya ada 17 pegawai penyiasat sahaja yang tidak mampu untuk ke pelbagai lapangan untuk siasatan.

“Fungsi dan peranan MyCC untuk menangani kartel perlu diperhebatkan tahun depan apabila kerajaan laksana kaedah subsidi bersasar,” katanya.



No comments: