PN TAK USAH BUANG MASA LAYAN CAKAP TUN MAHATHIR, LEBIH BAIK FOKUS HADAPI PRU16


Di sebalik kedudukan Anwar Ibrahim yang kian mengukuh untuk terus kekal menerajui negara, Tun Mahathir Mohamad nampaknya masih lagi berilusi tentang kejatuhan kerajaan.


Ternampak dendam dan sakit hati yang bersarang dalam diri bekas Perdana Menteri dua kali itu lebih menguasai pemikirannya sehingga beliau tidak mampu lagi berpijak di atas hakikat realiti.


Menyusul selepas lima Ahli Parlimen Bersatu mengumumkan sokongan kepada Anwar, Tun Mahathir berkata, PN masih mampu untuk mengambil alih kerajaan dengan mengguna pakai kaedah mengisytiharkan sokongan tanpa perlu keluar parti.


Katanya, kaedah itu ialah sebagaimana dilakukan lima Ahli Parlimen Bersatu yang mengumumkan sokongan kepada Anwar sebelum ini.


Hakikatnya, tambah Tun Mahathir, PN juga boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen kerajaan untuk menubuhkan pentadbiran baru.


“Untuk dirikan kerajaan, PN perlu ada jumlah wakil rakyat lebih 112. Macam mana nak dapat? (Kaedah) sama seperti lima (MP Bersatu) sokong Anwar.


“Mereka tak keluar parti (maka) tak digugurkan (sebagai Ahli Parlimen).


“Kalau ada Ahli Parlimen tak suka kerajaan, katakan dalam 30 orang daripada UMNO, Amanah dan PKR yang sedia tolak Anwar, (ia boleh) membawa kepada kejatuhan beliau sebagai Perdana Menteri.


“Dengan itu PN boleh pilih orang lain sebagai Perdana Menteri, ia sama seperti ketika Muhyiddin (Yassin) dijatuhkan selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan yang kemudian membawa kepada Ismail Sabri dipilih jadi Perdana Menteri.


“Perkara ini boleh diulang sekarang,” katanya dalam sebuah program di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.


Sejujurnya, dalam usia mencecah hampir 100 tahun dan telah dua kali merasa jadi Perdana Menteri, hujah Tun Mahathir kali ini pasti membuatkan ramai berada “kesian” dengannya.


Mengapakah beliau masih berkhayal mahu menjatuhkan kerajaan, sedangkan jumlah Ahli Parlimen PN hanya tinggal 69 orang saja lagi ketika ini?


Bagaimana Tun Mahathir mahu menukar angka 69 itu menjadi kepada sekurang-kurangnya 112?


Meskipun Tun Mahathir menyebut “katalah ada 30 Ahli Parlimen kerajaan yang tidak suka Anwar, ia boleh menyebabkan kerajaan jatuh”, soalnya siapa 30 Ahli Parlimen kerajaan yang mahu beralih menyokong blok pembangkang itu?


Lagi pun, angka 30 itu jika dicampur 69 Ahli Parlimen PN sedia ada, ia masih lagi jauh untuk mencapai jumlah 112 yang diperlukan untuk menjatuhkan Anwar.


Mana lagi nak cekau sokongan selebihnya?


Kesimpulan mudah di sini, bukan saja Tun Mahathir harus berhenti daripada terus berilusi dan berkhayal untuk menjatuhkan kerajaan, kepada PN juga ingin diingatkan agar tidak melayan lagi sebarang cakap bekas Pengerusi GTA itu.


Tun Mahathir pada hakikatnya sudah tidak relevan lagi dalam politik negara ini, apatah lagi bila bercakap untuk menjatuhkan kerajaan.


Jika beliau relevan, tentulah dirinya tidak hilang deposit dan GTA yang diterajuinya tidak kalah semua kerusi ditandingi, malah tidak hilang semua deposit juga pada PRU15 lalu.


Dalam keadaan sekarang, lebih baik PN lupakan saja sebarang minat untuk menjatuhkan kerajaan kerana perkara itu semakin mustahil sekarang ini.


Lebih wajar PN menumpukan usahanya kepada mengukuhkan lagi parti bagi menghadapi PRU16 akan datang kerana hanya itu cara terbaik untuk menjatuhkan kerajaan.


Buat sementara ini, sebagai cara untuk mengelakkan PN terus kehilangan lebih ramai Ahli Parlimennya, Mahiaddin serta Hamzah tiada pilihan lain melainkan harus membawa secara “en bloc” seluruh Ahli Parlimen gabungan itu bersama-sama membina negara ini.


Untuk berlawan, tunggu saja PRU16 yang tempohnya empat tahun lagi.


Dengan yang demikian, Ahli-Ahli Parlimen PN tidak lagi terpecah dan dalam masa yang sama, peruntukan untuk menjaga kawasan masing-masing juga akan diperolehi.


Buang masa PN saja jika terus melayan Tun Mahathir yang penuh dendam kesumat dan sakit hati kepada Anwar itu. – ShahbudinHusin 30/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/30/pn-tak-usah-layan-cakap-tun-mahathir-lebih-baik-fokus-hadapi-pru16.html



No comments: