KEMENTERIAN MAT SABU COROT- TAPI USAHA SEDANG BERJALAN.

 


Semalam ketika di Perlis, YAB Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim ada mengingatkan semua pimpinan dan penjawat awam tentang perlunya kita semua berani mengakui segala kelemahan dan perlu ada tekad untuk memperbaiki dan melakukan Islah.

Semalam juga sewaktu saya menyampaikan amanat kepada warga MAFS, saya telah mendedahkan laporan penilaian persepsi rakyat terhadap MAFS sepertimana yang dibentang oleh Tan Sri KSN dalam pemukiman menteri-menteri di Seri Perdana.

Hasil dari pemerhatian sepanjang tahun 2022, MAFS telah mendapat markah yang tercorot kerana isu kekurangan bekalan ayam dan telur telah berlarutan terlalu lama sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Misalnya daripada data yang saya perolehi dari Jabatan Veterinar, kekurangan telur agak kritikal pada:

Oktober 2022: Kurang (-) 118 juta biji telur.

November 2022: Kurang (-) 157 juta biji telur.

Saya melapor diri di MAFS pada 5 Disember 2022. Selepas mendengar taklimat tentang situasi semasa bekalan telur, saya bersama pengurusan tertinggi MAFS telah bertemu dengan beberapa pengeluar utama telur untuk mencari jalan penyelesaian terbaik supaya bekalan dapat dipulihkan.

Dalam masa yang sama juga MAFS cuba mencari sumber alternatif dari negara luar untuk mencukupkan bekalan. Maka bermula bulan Disember, kita telah membenarkan telur diimport sebagai langkah sementara untuk mencukupkan bekalan dalam negara.

Ada yang bertanya ketika itu kenapa kita tidak menghentikan sahaja eksport telur?

Untuk pengetahuan semua, setelah saya berbincang dengan beberapa pengeluar telur tempatan, mereka sangat mengharapkan hasil eksport telur itu untuk menampung kerugian yang mereka alami di pasaran dalam negara kerana kawalan harga yang dikenakan terlalu lama boleh menyebabkan lebih banyak syarikat terpaksa menghentikan operasi.

Kenaikan mendadak kos makanan ayam yang diimport dan kawalan harga yang terlalu lama telah menekan pengeluar telur tempatan.

Lalu MAFS telah berbincang dengan KPDN dan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan supaya kawalan harga dapat diberhentikan namun saya meminta subsidi bersasar perlu diberikan kepada rakyat yang susah terlebih dahulu sebelum harga telur hendak diapungkan semula.

Alhamdulillah dengan kerja keras warga MAFS pada bulan Disember, kekurangan telur hanya 1 juta biji sahaja.

Pada saya ini suatu pencapaian yang membanggakan kerana dalam tempoh sebulan, MAFS telah berjaya mengatasi kekurangan telur daripada 157 juta biji pada bulan November 2022 kepada 1 juta biji pada bulan Disember 2022.

Alhamdulillah sekarang ini bekalan ayam dan telur sudah mula pulih dan insyaAllah akan kembali stabil tidak lama lagi.

Pada saya komitmen dan kemampuan pegawai dan kakitangan saya di MAFS untuk menyelesaikan semua isu-isu bekalan makanan amat tinggi dan mereka sangat profesional. Saya amat yakin dengan keupayaan semua warga MAFS.

Sebab itulah dalam amanat saya semalam saya telah meletakkan 5 agenda penting untuk dilaksanakan tahun ini. Antaranya ialah memulakan tanaman jagung bijirin (grain corn) bermula tahun ini supaya tahap kebergantungan industri terhadap sumber jagung bijirin dari negara luar dapat dikurangkan dari setahun ke setahun. Saya yakin warga MAFS mampu melaksanakannya.

#KitaBoleh

#DemiPertiwi