PENCABAR ZAHID HAMIDI/TOK MAT MESTI KUASAI JAWATAN NAIB PRESIDEN DAN MT UMNO


 Oleh kerana ruang untuk bertanding Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sudah tertutup bagi pemimpin yang ingin mencabar Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, apa langkah seterusnya yang harus mereka lakukan selepas ini?

Apakah berdiam diri pilihan yang terbaik?

Sudah tertutupkah masa depan mereka dalam UMNO?

Satu perkara yang bukan lagi rahsia ialah usul tambahan menghalang pertandingan itu dibentangkan adalah kerana Zahid Hamidi dan Tok Mat takut untuk berlawan.

Mereka takut berlawan kerana tidak yakin mampu menang jika berlaku pertandingan.

Mahu tidak mahu, bagi Ismail Sabri Yaakob, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Johari Ghani, Shahril Hamdan dan lain-lain yang kini disebut sebagai Kumpulan Demokrasi dalam UMNO, mereka tidak harus menganggap lulusnya usul tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi dalam parti itu sebagai kekalahan buat mereka.

Ia mesti dilihat sebagai cabaran dan pemberi semangat untuk terus bergerak ke hadapan bersama keyakinan tinggi untuk memenangi hati perwakilan akar umbi.

Untuk itu, bagi pemilihan UMNO yang akan datang ini, mereka mesti menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan MT parti.

Jika boleh, pastikan Kumpulan Demokrasi ini memenangi ketiga-tiga jawatan Naib Presiden dan sebahagian besar atau kesemua sekali 25 kerusi MT UMNO.

Begitu juga bagi jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, susun elok-elok agar jawatan-jawatan ini juga dapat dikuasai.

Jika diusaha dan digerakkan dengan betul, penguasaan itu pasti boleh dilakukan dengan jayanya kerana respon akar umbi yang mahukan perubahan setelah keputusan buruk PRU15 lalu masih lagi membara.

Jangan bimbang untuk berlawan kerana pertandingan akan ditentukan oleh hampir 160 ribu perwakilam cawangan dan bahagian dan bukan 3,000 perwakilan seperti mana lulusnya usul tambahan di Dewan Merdeka WTCKL, Sabtu lalu.

Dengan menguasai kerusi Naib Presiden dan MT UMNO, ia bermakna Kumpulan Demokrasi akan menjadi suara sebenar dalam UMNO selepas ini, bukan lagi oleh Presiden dan Timbalan Presiden yang sekarang disokong oleh Kumpulan Pengampu yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian “yes man” di belakang mereka.

Tidak perlu untuk dihuraikan dengan terperinci apa yang boleh dilakukan selepas itu jika Kumpulan Demokrasi ini berjaya menguasai jawatan Naib Presiden, MT dan sayap-sayap parti.

Yang pasti, usul tambahan menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden baru-baru ini akan bertukar menjadi “bala besar” dan penyesalan buat mereka.

Kepada pencinta dan pendokong demokrasi dalam UMNO, gunakanlah pemilihan kali ini untuk memulihkan semua parti selepas kehilangan lebih separuh daripada 54 kerusi Parlimen yang dimenangi pada 2018 dahulu.

Jika tidak diubah dan tidak dikembalikan demokrasi, tidak mustahil UMNO hanya tinggal

16 kerusi Parlimen saja lagi pada PRU16 tahun 2027 akan datang.

Pemilihan UMNO akan datang inilah peluang terakhir bagi 160 ribu perwakilan cawangan dan bahagian untuk menentukan hidup mati UMNO.

Pastkan Kumpulan Demokrasi mempunyai suara yang kuat dalam barisan kepimpinan tertinggi selepas pemilihan UMNO akan datang agar parti tidak mati dilenyapkan oleh Kumpulan Pengampu yang tiada lagi jiwa perjuangan dalam diri mereka. – ShahbudinHusin 17/01/2023.