Status bangsa: Dr Mahathir mahu Zahid mohon maaf, ancam hendak saman

 

Astro Awani
Status bangsa: Dr Mahathir mahu Zahid mohon maaf, ancam hendak saman
Tegas Dr Mahathir, kali ini beliau perlu bertindak kerana sikap Ahmad Zahid yang amat memualkan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengancam mahu menyaman Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan, Dr Mahathir memberitahu beliau mahu menyaman Ahmad Zahid kerana mempertikaikan status kaumnya sebagai orang Melayu.
Namun tegas Dr Mahathir, kali ini beliau perlu bertindak kerana sikap Ahmad Zahid yang amat memualkan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.
“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya.
Ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian UMNO Kelana Jaya pada 30 Julai 2017, Ahmad Zahid yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dilaporkan mendakwa nama sebenar Dr Mahathir adalah Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.
Ahmad Zahid didakwa memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin apa yang didakwa salinan kad pengenalan Dr Mahathir.
Mengaku mempunyai darah India, Mahathir menegaskan namanya dalam kad pengenalan menggunakan bin, bukan anak lelaki.
Malah Dr Mahathir menjelaskan ibu dan bapa beliau dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu serta mengamalkan adat Melayu.
“Mengikut takrifan perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.
“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan kami semua beragama Islam.
“Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa tujuan Zahid berhubung kenyataan kad pengenalannya itu hanya untuk memburukkan dirinya.
Zahid juga, kata Mahathir, menggambarkan seolah-olah dia menipu mengenai status bangsanya.

No comments: