Shafee, bekas pengerusi 1MDB bertikam lidah mengenai perjanjian PetroSaudi

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Peguam Shafee Abdullah bertanya kepada bekas pengerusi 1MDB,
 Bakke Salleh mengapa beliau bersikap membela diri dan
 memberitahunya bahawa dia adalah saksi bukan tertuduh.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Najib Razak berhubung tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan 1MDB bermula hangat pagi ini apabila peguamnya dan bekas pengerusi syarikat itu bertelagah mengenai satu perjanjian bernilai USD1 bilion.

Ia bermula apabila peguam Najib, Shafee Abdullah bertanya kepada Bakke Salleh, iaitu bekas pengerusi 1MDB, sama ada beliau sepatutnya mendapatkan nasihat daripada lembaga penasihat syarikat itu mengenai usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Bakke sebelum ini berkata, lembaga 1MDB mengarahkan pihak pengurusan untuk menjalankan usaha wajar sebelum meneruskan usaha sama tersebut, tetapi ini tidak dilakukan.

“Anda beritahu (dalam keterangan) bahawa apabila dilihat kembali, anda hilang sabar dan berasa bengang terhadap pengurusan kerana tidak mematuhi arahan lembaga,” kata Shafee ketika memeriksa balas Bakke, seorang saksi dalam perbicaraan.

“Anda juga kata, anda tak sepatutnya meletak jawatan.”

Ini mengundang respons daripada Bakke yang berkata, “Tidak, itu bukan maksud saya”.

“Ingatan saya masih sempurna. Saya tak tahu dari mana anda dapat (kata-kata) ini. Saya kata, ‘jika dilihat kembali, saya tak sepatutnya berkhidmat dengan 1MDB’.”

Shafee kemudian merujuk kepada keterangan Bakke pada prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 11 Feb 2016, dan bertanya sama ada beliau berpegang pada keterangannya mengenai usaha sama itu.

Bakke kemudian bertengkar dengan Shafee, dengan berkata, laporan PAC tidak menggambarkan keterangan penuhnya. Ini menyebabkan Shafee meminta Bakke menyatakan sama ada beliau berpegang pada keterangannya.

“Soalan saya mudah, saya hanya ingin tahu sama ada anda berpegang pada keterangan anda di hadapan PAC,” kata Shafee.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mencelah dan memberitahu Bakke bahawa sebagai saksi, beliau perlu menjawab soalan.

“Saya pegang keterangan saya di hadapan PAC,” kata Bakke.

Beliau menjelaskan bahawa banyak perkara yang dikatakannya semasa prosiding PAC yang tidak dimasukkan dalam laporan jawatankuasa itu.

“Tidak bermaksud apa yang anda baca hari ini (laporan PAC) mewakili apa yang saya kata,” tambahnya.

Shafee kemudian bertanya Bakke, mengapa beliau bersikap mempertahankan dirinya dan memberitahunya “anda saksi, bukan tertuduh”.

Najib kini dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan bersambung.

No comments: