Kami belum dapat untung daripada projek lapangan terbang Kulim, kata pemaju

 Predeep Nambiar

 -

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dijangka mula beroperasi pada
 2024. (Gambar fail)

GEORGE TOWN: Sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan membina projek lapangan terbang Kulim dicadangkan hari ini menafikan mereka meraih “keuntungan atas angin” seperti didakwa bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Penjelasan itu menyusul dakwaan Mukhriz yang dilaporkan berkata, ECK Development Sdn Bhd (ECK) sudah meraih keuntungan dengan memeterai perjanjian pembinaan rumah, walaupun belum membayar sesen pun bagi projek berkenaan.

ECK yang menafikan dakwaan itu berkata, ia sudah melunaskan bayaran tertunggak dan belum meraih keuntungan daripada projek berkenaan.

“ECK belum menandatangani sebarang perjanjian atau berurusan dengan mana-mana pihak. Kami tidak meraih sebarang keuntungan atau manfaat setakat ini.

“Kami telah didekati pelabur yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan lapangan terbang dan aerotropolis.

“Aerotropolis itu masih tertakluk kepada kelulusan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim,” kata jurucakap syarikat itu kepada FMT.

ECK berkata, ia sudah menjelaskan bayaran tertunggak kepada syarikat berkaitan kerajaan Kedah, KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, selepas menandatangani perjanjian usaha sama itu. Bagaimanapun, jurucakap itu tidak mendedahkan jumlah yang dibayar.

Jurucakap itu berkata, lapangan terbang dan keseluruhan pelan induk itu perlu diluluskan pihak berkuasa terlebih dulu.

“Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara perlu disiapkan sebelum projek itu boleh dimulakan.”

Pada 2 Ogos 2021, ECK memeterai perjanjian dengan kerajaan Kedah bagi membina lapangan terbang berkenaan.

Lapangan terbang itu akan dibina di tapak seluas 1,7000 hektar di Sidam Kiri, berdekatan Sungai Petani, dan dijangka mampu mengendalikan 15 juta penumpang setahun apabila siap kelak. Kerajaan negeri sebelum ini menjangkakan penerbangan pertama seawal 2024.

Dalam kenyataan 5 April lalu, Mukhriz berkata, kerajaan Kedah menulis surat kepadanya memaklumkan tiada wang yang telah dibayar untuk projek lapangan terbang itu.

Katanya, Kumpulan ECK sehingga kini tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak KXP Airportcity Holdings Sendirian Berhad (KXPACH) mahupun kerajaan negeri.

Katanya, beliau dimaklumkan kerajaan negeri bahawa ECK akan membelanjakan RM6 bilion dalam fasa pertama pembangunan, termasuk RM2 bilion bagi tujuan pengambilan tanah.

Mukhriz mendakwa ECK telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat hartanah untuk membangunkan kawasan perumahan di sebahagian tanah yang diperolehi bagi projek itu tanpa membuat sebarang bayaran untuk tanah lapangan terbang itu.

No comments: