Dakwaan set soalan SPM sama: KPM teliti laporan sebelum ambil tindakan

 

Timbalan Menteri Pendidikan I, Mah Hang Soon berharap tiada spekulasi dibuat bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan dengan baik. (Gambar Bernama)

IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti laporan Lembaga Peperiksaan sebelum sebarang tindakan diambil susulan dakwaan penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula Khamis lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Mah Hang Soon berkata, mana-mana pihak berkaitan juga diharap tidak melakukan sebarang spekulasi bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya sendiri pun baru terima maklumat tersebut dan saya fikir apa pun (andaian), kita perlu tunggu laporan daripada Lembaga Peperiksaan. Selepas itu, kita akan buat perbincangan sebelum tindakan susulan berpatutan diambil,” katanya selepas perjumpaan bersama ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini, hari ini.

Semalam, melalui laporan media, beberapa pihak menggesa KPM dan Lembaga Peperiksaan menjawab tuduhan berkaitan soalan peperiksaan Bahasa Melayu (Ujian Mendengar) sesi kedua sama seperti sesi pertama SPM yang dikongsi secara meluas.

Sesi kedua SPM khusus itu adalah untuk pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan baru-baru ini ekoran Covid-19, banjir serta mereka yang diberi pengecualian khas oleh pengarah peperiksaan.

Dalam perkembangan lain, Mah berkata, sebanyak 4,932 kekosongan jawatan guru di bawah pengambilan khas secara “one off” akan diselesaikan dalam masa terdekat, selain tertakluk di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

“Perkara ini telah banyak kali dibincangkan. Ia sebenarnya ada satu proses yang berterusan. Sebenarnya, ia di bawah kendalian dan perlu melalui (tanggungjawab) SPP. Apa pun, proses ini masih berjalan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”

Katanya, meskipun mengakui terdapat rungutan daripada pelbagai pihak berhubung kelewatan lantikan bagi kekosongan jawatan itu, namun ia perlu diperhalusi berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPP.

“Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan SPP bertanyakan perkara sama (lewat). Apa yang diberitahu, mereka ada SOP tersendiri dan ia memerlukan sedikit masa.”

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kuota kekosongan berkenaan akan diisi rata-rata calon yang tidak mempunyai kontrak perkhidmatan (COS) ikhtisas pendidikan.

Pada 29 Mac lalu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin menjelaskan, setakat ini 13,770 daripada 18,702 kekosongan bagi jawatan guru di bawah pengambilan khas secara “one off” telah diisi di seluruh negara.

Katanya, hanya terdapat 4,932 baki kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon berkelayakan.

No comments: