Maruah umat Islam Malaysia tercemar akibat tindakan 3 buah bank di
negara ini yang memberi pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat perjudian
Genting Hong Kong.
Menurut Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN
(BiPPA), Amidi Abdul Manan, berhubung pemberian pinjaman itu kerajaan Malaysia
perlu menyatakan pendirian tegas dalam isu berurusan dengan syarikat judi,
apatah lagi membabitkan tabung simpanan deposit warga muslim.
"BiPPA menuntut satu pendirian dan tindakan dari pihak
kerajaan bagi menyelamatkan maruah Malaysia sebagai sebuah negara yang
menjadikan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
"Tindakan melibatkan duit umat Islam khususnya melalui KWSP
(melalui bank memberi pinjaman) adalah tidak wajar. Untuk makluman, KWSP adalah
salah satu pemegang saham terbesar di Maybank," katanya dalam kenyataan
hari ini.
Menurut mantan Presiden ABIM itu lagi, keyakinan bahawa industri
judi akan memberikan jaminan pulangan lumayan sehingga sanggup memberikan
pinjaman tanpa cagaran merupakan suatu 'akidah' atau keyakinan songsang yang
bertentangan dengan semangat ayat 90 surah Al-Maidah, al Quran.
"Justeru, pihak BIPPA menyeru umat Islam Malaysia agar bangkit
menyatakan bantahan ke atas sikap sebegini yang jelas bertentangan dengan
ajaran al-Quran.
"Para ulama dan ilmuan Islam mesti secara jelas
memperlihatkan sikap yang tegas dan keberanian yang jelas agar kemungkaran
sebegini tidak akan berulang dan berleluasa," katanya lagi.
Sebelum ini, tiga buah bank Malayan Banking Berhad (Maybank),
Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad telah memberi pinjaman berjumlah
AS$600 juta atau RM2.51 bilion kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong
beberapa tahun lalu
Kemuflisan syarikat Genting Hong Kong itu kemudiannya menaikkan
kemarahan warga muslim kerana ketiga tiga bank berkenaan melibatkan kepentingan
Pemodalan Nasional Berhad, Khazanah dan KWSP sebagai pemegang saham antara yang
terbesar.