PETALING JAYA: Seorang penyokong kerajaan Pulau Pinang mempersoalkan kelewatan tiga tahun projek pembetungan paip bernilai hampir RM200 juta di Bayan Baru, malah keadaan lubang tiada penutup itu turut dilihat mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.
Saifuddin Nasution Ismail (PH-Pantai Jerejak) berkata, projek kerajaan persekutuan itu dimulakan pada Oktober 2015 dan sepatutnya siap pada 2018.
Katanya, projek bernilai RM171 juta itu dilanjutkan lima kali sejak 2018 dengan yang terbaru sehingga 3 Jan tahun ini.
“Projek ini telah tertangguh selama 328 hari dan dendanya adalah RM32,000 sehari. Kerajaan negeri mesti mendesak Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Persekutuan (JPP) untuk menyiapkannya dengan segera.
“Kami ingin tahu kenapa projek ini mengambil masa lama untuk disiapkan,” kata Setiausaha Agung PKR itu ketika membahaskan Belanjawan 2022 Pulau Pinang.
Saifuddin berkata, projek itu menimbulkan kesukaran di kawasan yang diwakilinya, termasuk menyebabkan kemalangan kerana sembilan lubang yang tiada penutup.
Katanya, kontraktor sering memberi alasan bahawa mereka mempunyai masalah dengan penempatan semula kabel utiliti dan penemuan “bahan keras”.
Menurut laman web JPP, projek pembentungan itu boleh mengendalikan 650,000 PE (bersamaan penduduk) dan sepatutnya siap pada Mei 2019.
Projek itu diperuntukkan sebanyak RM440,500 dan sepatutnya meningkatkan kualiti air Sungai Kluang, dengan air bersih dilepaskan dari loji rawatan kumbahan Bayan Baru.
Selain paip, loji rawatan itu juga sepatutnya dinaik taraf untuk memanfaatkan penduduk Zon Perdagangan Bebas Bayan Baru, Sungai Ara, Bukit Jambul, Sungai Dua, Sungai Nibong, Batu Uban dan Bayan Lepas.