BANGUNLAH RAKYAT KELANTAN, WANG IHSAN SUATU PENGHINAAN

 

Tadi saya menonton video bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim yang mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan tiada lagi royalti minyak akan diberikan kepada negeri Kelantan.

Sebaliknya, kata Tengku Zafrul, royalti itu kini ditukar kepada pemberian wang ihsan berikutan medan pengeluaran minyak yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan.

Bagi Zaid, hujah Tengku Zafrul itu hanyalah alasan kerajaan Pusat semata-mata enggan memberi royalti kerana ketika Petronas diberi hak eksklusif mencari gali minyak di perairan Kelantan, perjanjiannya adalah royalti dan tidak berbangkit sama sekali tentang jarak atau berapa jauh medan pengeluarannya.

Beliau seterusnya membangkitkan tentang jarak perairan yang berbeza yang dijadikan ukuran iaitu 12 batu nautika bagi Kelantan, tetapi hanya 3 batu nautika untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya tak pernah dengar isu perairan itu ada dalam perjanjian, ia tiada kena mengena,” tambah beliau lagi.

Bagi yang belum menonton video Zaid itu, ia boleh ditonton di sini – https://fb.watch/9zDkIRpPnA/

Memandangkan pembayaran royalti sudah termaktub dalam perjanjian, meski kerajaan negeri Kelantan sebelum ini pernah menyaman kerajaan pusat, kini adalah masanya untuk seluruh rakyat Kelantan bangun sekali lagi menuntut hak tersebut.


Ini kerana ia adalah hak rakyat Kelantan yang nampaknya cuba dinafikan secara terang-terangan oleh kerajaan pusat dengan mengemukakan alasan yang seperti ingin memperbodohkan mereka.

Sumber minyak yang ditemui di Kelantan adalah anugerah Tuhan yang dengan royalti itu boleh digunakan untuk melaksanakan agenda pembangunan menyeluruh bagi kepentingan rakyat negeri itu.

Tetapi, jika hak itu dirampas, sudah tentu sebuah negeri miskin seperti Kelantan akan berdepan masalah yang berpanjangan.

Tambahan lagi, menukar perjanjian yang jelas disebut sebagai royalti kepada wang ihsan adalah suatu penghinaan kepada rakyat Kelantan.

Royalti adalah terma perjanjian berdasarkan hasil minyak yang diperolehi, manakala wang ihsan hanya sekadar pemberian yang bersandarkan rasa kasihan.

Kalau ketika rasa kasihan tinggi, mungkin banyak pemberiannya diberi tapi jika tiada perasaan itu, lima sen pun jangan dimimpi.

Apakah rakyat Kelantan sanggup diperlakukan sebegitu oleh sebuah kerajaan berkonsepkan Keluarga Malaysia kononnya?

Paling buruk dan jelas lagi agenda membodohkan rakyat Kelantan itu ialah kerana pengumuman menukar royalti kepada wang wang ihsan itu dilakukan sekarang iaitu ketika tiga parti utama Melayu – UMNO, Pas dan Bersatu – sedang berganding tangan membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Bermakna, baik UMNO, Bersatu atau Pas yang mengetuai kerajaan negeri dan mereka sama-sama membentuk kerajaan di peringkat pusat, semuanya adalah sama tidak berguna kepada rakyat negeri Kelantan.

Kenapa tiada seorang pun menteri daripada ketiga-tiga parti itu bangun bersuara atau membantah pengumuman Tengku Zafrul itu demi kepentingan rakyat dan pengundi mereka sendiri?

Sepatutnya, sesuai dengan sembang kencang para menteri itu yang selama ini selalu bercakap kononnya mereka berjuang untuk rakyat, setidak-tidaknya bersuaralah membantah pengumuman Tengku Zafrul itu.

Ini tidak, jauh sekali untuk sanggup mati demi perjuangan atau berani menarik sokongan, bersuara dan membantah pun suara mereka langsung tidak kedengaran.

Ternampak semua menteri daripada Kelantan yang ada dalam kabinet, tidak kira parti apa sekali pun, hanya semata-mata mementingkan jawatan dan kedudukan, bukannya perjuangan.

Zaid, sebagai seorang peguam dan anak jati Kelantan melalui apa yang disuarakannya mengenai royalti ini sebenarnya telah membuka jalan untuk rakyat negeri itu bangun menuntut apa yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Apa lagi, perkara yang disebut Zaid itu turut disahkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, pengasas Petronas yang tanpa ragu-ragu mengatakan hanya royalti disebut dalam perjanjian cari gali minyak dengan Kelantan.

Oleh itu, bangunlah rakyat Kelantan bersama Zaid Ibrahim. – ShahbudinHusin 29/11/2021.




No comments: