Jangan pertikai kedaulatan P Pinang, kata Chow

 



Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kanan) dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ketika menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja ke-257 di Istana Negara pada 24 Nov lalu. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Chow Kon Yeow mahu semua persoalan mengenai kedaulatan Pulau Pinang oleh Kedah dihentikan.

Beliau hari ini menggesa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mempertahankan kedaulatan negeri itu sebagai anggota persekutuan Malaysia.

Chow berkata, dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah oleh kerajaan negeri itu mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia dan perlu dilihat dari perspektif perundangan.

Katanya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan seterusnya Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) mengukuhkan lagi hakikat bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang tersendiri.

Malah perkara itu tidak dipertikaikan, katanya.

Chow berkata, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor juga tidak membuat sebarang tuntutan berhubung Pulau Pinang pada Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri, baru-baru ini.

Kenyataan Chow itu adalah kali pertama beliau dilihat mengetepikan diplomasi dalam menyelar isu berkenaan sejak Kedah pertama kali membuat dakwaan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak daripada Kedah.

Chow menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) mengenai tuntutan Kedah dan sama ada Sanusi menuntut bayaran royalti atau pampasan daripada Pulau Pinang pada Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri itu.

Ketua Pembangkang Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) kemudian berkata, Chow perlu duduk berbincang dengan Menteri Besar Kedah itu untuk menyelesaikan isu berkenaan, malah menyoal sama ada Ketua Menteri itu mempunyai fakta tepat berhubung perkara itu.

Chow menjawab, di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, kedaulatan Pulau Pinang jelas dan tidak dipertikaikan.

Sanusi baru-baru ini menuntut bayaran “pajakan” lebih tinggi sebanyak RM100 juta daripada Pulau Pinang. Beliau turut menuntut pampasan untuk air yang diambil dari Sungai Muda.

No comments: