Gempar! 5 kes pasangan Islam mohon cerai dalam masa 1 jam setiap hari di seluruh negara

 


Gempar! 5 kes pasangan Islam mohon cerai dalam masa 1 jam setiap hari di seluruh negara

Dianggarkan sebanyak 121 kes permohonan perceraian setiap hari di kalangan pasangan beragama Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Mas Ermieyati Samsudin.

Ketika menjawab soalan tambahan dari Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun), Mas Ermieyati membetulkan statistik perceraian pasangan beragama Islam yang dinyatakan terdahulu.

Menurutnya, secara purata dianggarkan sekitar lima orang pasangan memohon perceraian dalam masa satu jam setiap hari.

“Bagi kes permohonan cerai yang difailkan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia sejak Mac 2020 hingga Ogos 2021 untuk golongan beragama Islam yang dijana melalui sistem e-Syariah adalah sebanyak 66,440 kes keseluruhannya.

“Daripada jumlah ini, negeri Selangor mencatatkan daftar kes permohonan cerai tertinggi iaitu sebanyak 12,479 kes, diikuti negeri Johor sebanyak 7,558 kes serta negeri Kedah sebanyak 5,985 kes,” katanya.

Bagaimanapun, katanya statistik daripada Jabatan Kehakiman Syariah hanya menunjukkan bilangan kes permohonan cerai yang difailkan dan bukan termasuk semua kes permohonan cerai ini diluluskan dan berakhir dengan perceraian.

Menurutnya, pendaftaran kes cerai bagi masyarakat Islam adalah bawah kawalan dan bidang kuasa Jabatan Agama Islam.

Terdahulu, Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) memintanya menyatakan berapa kes perceraian berlaku sejak Mac 2020 hingga kini.

Manakala bilangan kes perceraian bagi golongan bukan Islam di seluruh Malaysia yang difailkan bagi tempoh bermula dari bulan Mac 2020 hingga Ogos 2021 adalah sebanyak 10,346 kes.

Daripada jumlah ini, negeri Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,893 kes dan Perak sebanyak 1,209 kes.

“Sebab itu saya percaya walaupun bukan konteks dalam parlimen dan undang-undang tapi banyak sistem sokongan ada dan banyak dalam kementerian lain yang bersama-sama untuk berikan sokongan kepada pasangan-pasangan ini supaya bukan sahaja berikan sokongan dari segi mental tetapi juga dari segi sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan terutama dari segi masalah pandemik,” katanya.