KEJATUHAN PEJA DAN PENGAJARANNYA BUAT MUHYIDDIN

 

Ahmad Faizal Azumu atau Peja gagal dalam usul undi percaya di DUN Perak dan dengan itu hilang jawatan Menteri Besarnya.

Dalam usul tersebut, Peja hanya mendapat 10 undi menyokong berbanding 48 menolaknya dan 1 undi berkecuali.

Maka, tumbanglah Peja yang sempat menjadi Menteri Besar Perak bersama PN selama 9 bulan dan sebelum itu selama 22 bulan bersama PH.

Dengan tumbangnya Peja ini, secara tepatnya juga beliau sebenarnya telah dijatuhkan oleh UMNO iaitu rakan kepada Bersatu dalam PN sendiri.

Yang menariknya lagi, kejatuhan Peja yang diusahakan oleh UMNO ini turut mendapat sokongan penuh daripada Adun-Adun PH yang merupakan pembangkang di DUN Perak.

Bermakna, secara tidak langsung, walaupun UMNO adalah rakan Bersatu dalam kerajaan PN, tetapi ia tidak menghalang mereka untuk bekerjasama dengan PH bagi mencapai tujuan yang terpendam.

Sedemikian itu, kejatuhan Peja ini sekurang-kurangnya memberi dua pengajaran buat Muhyiddin Yassin yang kedudukannya sebagai Perdana Menteri juga ibarat telur di hujung tanduk sekarang ini.

Pertama, jika ada usul percaya di benarkan di Parlimen, pastilah Muhyiddin juga akan jatuh tergolek sama seperti Peja.

Seperti UMNO mahu menjatuhkan Peja di Perak, parti itu juga mahu menumbangkan Muhyiddin di Pusat.

Cuma, nasib baik Speaker Parlimen sehingga ini masih menutup rapat kepada sebarang ruang sama ada usul percaya atau usul tidak percaya daripada dikemukakan terhadap Muhyiddin.

Jika tidak, pasti belayar malamlah dibuatnya.

Namun demikian, dengan terbentuknya kerjasama UMNO dan PH untuk menumbangkan Peja di Perak ini, tidak mustahil kerjasama dua pihak itu akan lebih mudah terjalin di peringkat Pusat bagi menumbangkan Muhyiddin.

Sebelum ini, sebagaimana diperkatakan bila mana Anwar Ibrahim mengadap Agong untuk mempersembahkan sokongan yang dimilikinya dengan antaranya daripada UMNO, apa yang terjadi di Perak ini mungkin memberi laluan mudah untuk perkara itu benar-benar dijadikan kenyataan.

Kalau tiada ruang di Parlimen, kerjasama UMNO dan PH bagi menumbangkan Muhyiddin boleh saja dilakukan bila-bila di luar Parlimen seperti yang pernah berlaku di Kedah sebelum ini misalnya.

Yang penting, kejatuhan Peja ini menandakan bahaya semakin dekat menghampiri Muhyiddin.

Kedua, jika Muhyiddin ada kesedaran, beliau haruslah insaf bahawa kejatuhan Peja di Perak merupakan suatu isyarat bahawa pengkhianatan akan tetap ada balasan pada akhirnya.

Sebagaimana Muhyiddin mengkhianati PH di Pusat, Peja pula sebenarnya telah mengkhianati PH di Perak dan hari ini Tuhan telah menunjukkan balasan untuk beliau.

Hanya selama 9 bulan berkuasa melalui PH, beliau akhirnya dijatuhkan oleh rakan sendiri iaitu daripada kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Dengan kejatuhan Peja hari ini, tiga jawatan Menteri Besar milik Bersatu sebelum ini iaitu di Perak, Johor dan Kedah telah habis melayang angkara pengkhianatan yang dilakukan oleh Muhyiddin yang semata-mata kerana mengejar jawatan Perdana Menteri.

Akhirnya siapa yang rugi sekarang ini?

Mahu tidak mahu, selain kedudukan Muhyiddin terus jadi tidak menentu dan lebih disasar untuk dijatuhkan, yang pasti selepas ini hubungan Bersatu dengan UMNO juga akan tambah bermasalah lagi.

Sudahnya, Bersatu lebih mungkin menjadi parti yang wujud hanya sepenggal saja. (Shahbudondotcom 04/12/2020)

No comments: