Tak kuat tapi masih PM

 

Tanpa cakap berlapik dinyatakan Muhyiddin Yassin tidak kuat. Bukan fizikal tetapi bercakap daripada sudut politik. Rasanya ramai yang beranggapan demikian.

Sejak beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Mac lalu, umumnya dalam kalangan orang politik (malah orang ramai juga) berkata “Muhyiddin tak lama jadi PM”.

Sebabnya beliau tidak mempunyai sokongan majoriti yang besar di Parlimen. Tipis sebenarnya. Sehingga jika hanya dua Ahli Parlimen yang menyokong berpaling tadah, beliau akan berada dalam keadaan amat tidak selesa (ini cakap berlapik). Dua tiga lagi tarik sokongan jawatan perdana menteri hilang, kerajaannya tumbang.

Beberapa kali kita dengar ini akan berlaku. Si polan si polan kononnya akan paling tadah. Namun itu tidak berlaku. Mengapa? Pelbagai sebab dan alasan diberi yang saya tidak cadang menghuraikan disini. Ramai sudah dengar dan punya tafsiran masing-masing .

Ada usaha menguji Muhyiddin di Parlimen menerusi undi tidak percaya. Itu pun tidak kesampaian sehingga kini. Speaker kata urusan kerajaan mesti diberi keutamaan terlebih dahulu. Terselamat Muhyiddin. Tuah seorang PM.

Timbul keadaan menumbangkan beliau menerusi Belanjawan 2021. Sekat belanjawan Muhyiddin letak jawatan. Sehingga kini langkah menyekat Belanjawan 2021 tidak berhasil. Sebaliknya ia dilihat menuju ke arah mendapat kelulusan Parlimen. Maknanya Muhyiddin kekal PM.

Hakikatnya Muhyiddin tidak kuat tetapi pembangkang yang dilihat gah dan kuat tidak sepakat. Ada yang mahu Dr Mahathir Mohamad jadi PM. Ada yang mahu Anwar Ibrahim. Ada juga yang mahu Shafie Apdal. Yang tersenyum lebar Muhyiddin.

Benar wabak Covid-19 memeningkan Muhyiddin. Namun kerana Covid-19 lah Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 9 Mac ditunda. Ketika itu “kemarahan” terhadap kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin (atau kerajaan tebuk atap kata Presiden PAS, Hadi Awang) memuncak. Pembangkang ketika itu cukup bersedia merampas semula apa yang dirampas daripada mereka. Hasrat itu tidak kesampaian.

Seperti dikatakan tadi Covid-19 memaksa sidang yang dijadual 9 Mac ditangguh sehingga 18 Mei. Bagaimanapun ia bukan bersidang dalam erti kata bersidang. Kerajaan Muhyiddin memutuskan ia diadakan selama satu hari dan menyaksikan titah pembukaan penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong dan tiada sidang selepas titah Diraja. Pembangkang kecewa.

Sidang Parlimen diadakan pada Julai. Muhyiddin kemukakan usul menamatkan khidmat Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming. Usul diterima dengan kemenangan undian tipis.

Pengganti ialah Azhar Azizan Harun sebagai speaker dan Azalina Othman Said timbalan speaker. Mohd Rashid Hasnon kekal timbalan speaker kedua.

Covid-19 juga mendorong Muhyiddin memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat. Agong bagaimanapun menolak. Tamparan buat Muhyiddin kata orang. Namun beliau tetap PM.

Tetapi proklamasi darurat beliau perolehi untuk kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah bagi mengelakkan pilihan raya kecil demi membendung wabak.

Bercakap mengenai pilihan raya, ramai khususnya pembangkang dan penentang beranggapan PRU-15 gelanggang terbaik untk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional. Namun dalam keadaan Covid-19, pilihan raya mengundang bahaya. Lantas Muhyiddin belum boleh diuji. Masih selamat.

Pun begitu UMNO yang dilihat sebagai sekutu PN (kadang-kadang bertindak bukan seperti sekutu) mahu pilihan raya diadakan sebaik sahaja keadaan wabak reda.

Muhyiddin baru-baru ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang menyentuh beberapa perkara penting termasuk mengadakan PRU-15.

Mungkin beliau sudah dalam keadaan selesa dan yakin untuk menghadapi pilihan raya.

Apa pun bukannya semua “plain sailing” buat Muhyiddin. Melihat PN mengingatkan saya filem P Ramlee, Keluarga 69. Filem komedi itu mengisahkan dua keluarga yang bertembung tetapi disatukan menerusi perkahwinan antara mereka dengan cara luar biasa. Yakni kisah kahwin cerai dan kahwin semula yang membabitkan anggota keluarga.

Kesimpulanya dibuat oleh Osman, antara watak utama filem itu, apabila dia berkata di penghujung filem, “keluarga ini telah menjadi tunggang terbalik, keluarga songsang, keluarga 69″. Jika anda pernah menonton filem itu anda akan tahu apa maksud si Osman.

PN dianggotai PPBM pimpinan Muhyididn, PAS, dan dua parti Sabah iaitu STAR dan SAPP.

UMNO-BN bukan komponen PN walaupun beberapa pemimpinnya ada dalam kerajaan Muhyiddin. Hakikatnya ada dalam UMNO yang menyokong PN, ada yang tidak.

UMNO kekal dalam BN bersama MCA dan MIC. UMNO bersama PAS menubuhkan Muafakat Nasional. Seperti semua maklum PAS duduk dalam MN dan PN.

UMNO tidak ada dalam PN sebab tidak senang dengan PPBM. Mereka mahu bersama PAS kerana percaya gabungan mereka boleh beri kemenangan pilihan raya.

PAS pula mahu UMNO bersama dalam PN kerana, kata pemerhati politik, lebih senang berunding untuk kerusi yang mereka ingin bertanding jika rundingan membabitkan juga PPBM. Rundingan secara “direct” dengan UMNO memang sukar kerana PAS dan UMNO sama kuat. Jelas PPBM dilihat sebagai lemah.

Bagaimana pun “selemah-lemah” PPBM, parti itu ada Muhyiddin sebagai PM. Tidak perlu dijelaskan apa seorang perdana menteri boleh lakukan dengan kuasa yang ada.

Walau pun perdana menteri presiden PPBM, ada pemerhati politik berpendapat UMNO yang menekan PPBM, “dictate terms” sehinga dilihat mendera PPBM. Sekurang-kurangnya begitulah gambarannya.

Ada pemerhati politik pula (termasuk orang UMNO) yang melihat sebaliknya. Kata mereka, PPBM yang mendera dan menganaktirikan UMNO.

Bukanlah rahsia UMNO mahu berkuasa semula. Mereka mahu memimpin bukan dipimpin. Jika berada dalam sesuatu gabungan UMNO mahu mendominasi. Seperti dalam BN. Semasa BN memerintah UMNO lah yang menjadi bos.

Untuk itu, walaupun ada bermacam-macam kem dalam parti, UMNO boleh merapatkan barisan bila menghadapi ancaman khususnya pilihan raya. Sengketa diketepikan buat seketika. Menang pilihan raya bersengketa semula.
Realitinya UMNO boleh ketepikan persengketaan sesama sendiri untuk mencapai “common goal”. Mereka menang pilihan raya demi pilihn raya sehinggalah PRU-14 pada 2018. Mereka tewas bukan kerana tidak bersatu tetapi tidak tertahan gelombang anti-BN ketika itu.

Kini UMNO mahu berkuasa semula. Pemimpin UMNO bertindak untuk mencapai matlamat itu. Ini termasuk berunding dengan pelbagai pihak untuk mereka mendapat keuntungan. Tidak ada salahnya mereka cuba mendapat yang terbaik.

Kita dengar mereka berunding dengan pembangkang khususnya Anwar. Ada pihak berpendapat ini digunakan untuk “menakutkan” Muhyididn. UMNO “mengancam” atau memberi gambaran untuk menarik sokongan terhadap Muhyididn jika apa yang mereka mahu tidak dituruti.

Tetapi kerap juga mereka cakap tak serupa bikin. Lantas ramai yang melihat UMNO sebagai “berani berani takut”. Tidak dinafikan UMNO dapat kenikmatan dalam keadaan sekarang lalu ada pemerhati politik berkata parti itu tidak berani bergerak sendirian khususnya tanpa PAS (begitu juga PAS yang perlukan UMNO).

Yang jelas UMNO mahu jadi parti dominan. PPBM tahu ini semua. Pemimpinnya, Saifuddin Abdullah, baru-baru ini menegaskan isu siapa mendominasi tidak perlu timbul jika partinya, UMNO, dan PAS duduk dalam satu gabungan untuk menghadapi PRU-15.

Bagi UMNO, cara terbaik ialah PPBM dibubarkan dan semua pemimpin dan ahli menyertai UMNO. Apatah lagi kebanyakan mereka berasal daripada UMNO. Dengan ini UMNO jadi parti dominan.

Mungkin itu yang dimaksudkan oleh Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki, apabila beliau dipetik berkata sudah sampai waktunya Muhyiddin dan partinya “pulang ke gagang”. Ini bukan kali pertama Asyraf mengajak PPBM menyertai UMNO.

Pemerhati politik tidak menjangka Muhyiddin akan menyahut “jemputan” itu.

Kesimpulannya, pembangkang dan kerajaan mempunyai masalah tersendiri masing-masing. Untuk mendapat kuasa, masalah itu semua mesti diselesaikan. Dengan cara dan kaedah tersendiri.

Cukup setakat ini sebelum saya dituduh mahu mengajar orang yang tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana perlu dilakukan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.