PN tergesa-gesa tutup sekolah, 10 ribu pengusaha kantin merana

 


Penutupan sekolah di Semenanjung Malaysia dengan alasan mengelakkan jangkitan Covid 19 secara tergesa-gesa tanpa melakukan kajian mendalam amat dikesalkan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah menutup sekolah tersebut telah menjejaskan 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara ekoran penutupan sekolah sehingga 17 Disember ini.

"Ini (penutupan sekolah) dikhuatiri akan memaksa mereka untuk gulung tikar akibat ketidakmampuan menanggung bebanan kos operasi harian.

"Keputusan tergesa-gesa tanpa ambil kira nasib para pengusaha kantin adalah mengecewakan.

"Saya tuntut penjelasan dan tindakan segera dari kerajaan, terutamanya Menteri Pendidikan berhubung isu ini.

"Saya juga mendesak kerajaan untuk pertimbangkan cadangan memberi geran bantuan dan lanjutkan kontrak perkhidmatan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Anwar turut menasihatkan kerajaan Perikatan Nasional pada masa hadapan agar lebih berhati-hati sebelum mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa hadapan.

"Saya nasihatkan kerajaan untuk fikir dan teliti setiap aspek sebelum membuat keputusan yang akan mengesankan rakyat terbanyak, terutamanya ketika zaman getir seperti hari ini," katanya lagi.

Penutupan sekolah di Semenanjung akibat PKPB dipertikai banyak pihak terutama kes-kes Covid 19 yang rendah di negeri selain Selangor. Namun kesemua negeri kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang dikenakan PKPB sehingga 17 Disember depan.

 

No comments: