GANGGUAN AIR MUNGKIN ADA KAITAN USAHA RAMPAS NEGERI, MB SELANGOR HARUS DITUKAR SEGERA

 

Berlakunya gangguan air yang kerap dan berulang di Selangor sejak kebelakangan tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang biasa.

Dalam tempoh dua bulan terakhir ini di mana berlaku tiga kali gangguan, ia adalah sesuatu yang cukup luar biasa sebenarnya.

Tidak pernah berlaku di mana-mana negeri lain, bahkan di Selangor di bawah kepimpinan mana-mana Menteri Besar sebelum ini pun, ia juga tidak pernah berlaku.

Lantaran itu, penyelesaiannya kepada masalah yang luar biasa ini juga harus dengan cara luar biasa.

Isu ini berkemungkinan besar bukan sekadar berkenaan air atau kerana ada kilang ingin menjimatkan kos dengan membuang sisa industri ke dalam sungai semata-mata, tetapi dipercayai sedang menuju kepada sasaran yang lebih besar daripada itu.

Semua orang tahu dan sedar, air adalah keperluan asas utama dan oleh kerana negeri Selangor yang diterajui oleh PKR mewakili PH begitu ingin dirampas oleh PN yang kini Azmin Ali adalah Pengarah Pilihanrayanya yang baru dilantik, tidak mustahil gangguan yang berulang ini bertujuan untuk memberi gambaran buruk kepada parti yang sedang menerajui negeri itu.

Walaupun Amirudin Shari yang menerajui Selangor adalah daripada PKR, tetapi beliau diketahui sebagai penyokong kuat Azmin dalam apa yang dikenali sebagai Geng Kartel.

Dalam beberapa program dan protes terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim yang digerakkan Azmin sebelum ini, beliau tidak pernah ketinggalan hadir dan memberi sokongan kepada bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Mana tahu dalam hatinya masih tersimpan perasaan sayang yang mendalam terhadap Azmin sehingga kini, walau tubuh dan jasadnya bersama PKR.

Untuk PRU15 akan datang, kuat desas-desus mengatakan Amirudin akan dipindahkan bertanding di Parlimen bagi memberi laluan PKR meletakkan muka baru mengambil alih tempatnya.

Maka, dari segi logiknya tidak penting lagi untuk Amirudin beria-ia mahu menunjukkan kerja baiknya di Selangor ini menjelang PRU15 akan datang.

Dengan kerap berulangnya gangguan air ini, ternampak seolah-seolah sabotaj ini sengaja dirancang, apatah lagi pembuangan itu dilakukan di sekitar kawasan yang sama di Rawang.

Kenapa tidak dilakukan pemantauan 24 jam atau kilang-kilang di sekitar kawasan itu dilawati oleh pihak berkuasa kerajaan negeri sebagai langkah awal bagi memastikan tiada sisa industi di buang ke dalam sungai?

Bagi kilang-kilang haram pula, mengapa dibiarkan terus beroperasi dan tindakan tegas tidak diambil?

Ternampak tujuan mencemarkan sungai yang menyebabkan bekalan air terganggu tidak lain ialah untuk mempamerkan kepada rakyat Selangor tentang gagalnya PKR/PH mentadbir negeri dengan baik dan perlu diganti dengan parti lain.

Tambahan lagi, selain Azmin sudah dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya PN, gabungan itu juga telah mengumumkan barisan kepimpinan tertingginya yang memperlihatkan mereka sedang menuju persiapan ke arah menghadapi PRU15 secara agresif.

Walaupun ada pelbagai pihak dan agensi berkaitan hal ehwal air di Selangor ini, tetapi meletakkan beban penyelesaian kepada mereka untuk menangani dan mengatasinya, ia hanyalah cara penyelesaian yang dianggap biasa.

Boleh jadi melalui cara itu ia dapat diselesaikan dan boleh jadi juga gangguan air ini terus berulang lagi.

Cara luar biasa yang paling wajar untuk menangani masalah air ini ialah PKR mesti segera menukar Menteri Besar Selangor dan tidak membiarkan beliau kekal sehingga DUN dibubarkan.

Amirudin telah gagal, tidak boleh diharapkan lagi dan keberadaannya lebih lama amat membahayakan bagi PKR dan PH.

Meski tiada bukti atau petunjuk beliau terlibat atau bersekongkol atau bermain mata dalam kes gangguan air ini, tetapi dalam politik ia tidak memerlukan seorang itu dibuktikan bersalah atau dibawa ke mahkamah terlebih dulu baru tindakan hendak diambil.

Menyelamatkan Selangor adalah urusan politik dan PKR hanya perlu bertindak secara politik juga untuk menanganinya.

Menukar Menteri Besar adalah tindakan politik yang sah dan dibenarkan, lebih-lebih lagi tujuan murninya ialah menyelamatkan sebuah kerajaan negeri.

Disebabkan kerapnya gangguan air sejak kebelakangan ini, majoriti rakyat Selangor bukan saja sudah marah kepada Amirudin, malah mula hilang keyakinan kepada PKR.

Sebelum terlambat dan sebelum Selangor dijatuhkan dan tidak dapat diselamatkan lagi, menukar Amiruddin dengan segera adalah suatu kewajipan.

Azmin sebagai bekas Menteri Besar Selangor memang diketahui ingin merampas negeri terkaya itu untuk meletakkan orangnya sendiri, mungkin Hilman Idham sebagai Menteri Besar yang baru mewakili PN selepas ini.

Kepada PKR, jangan sampai sudah terhantuk, baru nak tengadah – nanti menyesal tak sudah. 

(Shahbudindotcom 11/11/2020)

No comments: