PN pinda bajet, buat apa saja mahu terus berkuasa – Anwar
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas terdesak menghadapi sesi pengundian Belanjawan 2021 semalam apabila bertindak meminda secara besar-besaran peruntukan yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lalu.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan dan sekutunya masih mempunyai peluang untuk mengubah situasi dalam pengundian Peringkat Jawatankuasa yang bermula Isnin ini sehingga pengundian keseluruhan pada 15 Disember hadapan.
“Peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.
“Perlu saya nyatakan di sini dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti ini.
“Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar lagi, kelulusan peringkat dasar perlu diberi semalam kerana menyangkut kepentingan pembayaran gaji penjawat awam dan perbelanjaan untuk memberi bantuan kepada golongan yang terjejas teruk sepanjang pandemik Covid 19.
“Semestinya rakyat Malaysia terutama dari kalangan yang cukup terkesan akibat kehilangan kerja atau pendapatan menerima baik pengumuman Menteri Kewangan beserta peruntukan tambahan bagi Sabah, golongan nelayan dan petani, petugas barisan hadapan Covid-19 dan para pekerja yang mengharapkan bantuan segera.
“Walaupun rakan-rakan khususnya Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip pembangkang agar tidak berbuat demikian. Ini supaya Ahli-Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan.
“Ahli-Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan itu merupakan tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana Kementerian lain, apakah jumlah sebenar belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara.
“Selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi. Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP dan moratorium bank juga perlu diteliti,” katanya lagi.
Anwar menegaskan, PH akan memberi cabaran sengit dalam undian belanjawan di peringkat jawatankuasa atau perbelanjaan bagi kementerian.
Sekiranya beberapa kementerian gagal diluluskan maka kerajaan terpaksa membuat semula belanjawan yang ditambahbaik dan akan diundi pada 15 Disember kelak.