Konsolidasi Nasional: Bentuk pasukan terbaik selamatkan Malaysia

 

Konsolidasi Nasional: Bentuk pasukan terbaik selamatkan Malaysia


Langkah Le Meridien yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September 2020 yang lalu sama seperti langkah Sheraton yang disusun dan dijayakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakannya dalam menubuhkan satu kerajaan yang baharu.

Ia hanyalah melibatkan undian dan sokongan 222 ahli parlimen yang akan membuat pilihan untuk menyokong siapakah yang dirasakan sesuai diangkat menjadi perdana menteri mewakili kesemua 222 ahli Dewan Rakyat. Suara dan kuasa rakyat hanyalah untuk mengangkat ahli parlimen yang berjumlah 222 ini sahaja.

Sebarang perubahan yang dilakukan oleh ahli parlimen terhadap kepimpinan negara tidak lagi boleh ditentukan melalui undian rakyat sekiranya belum diisytiharkan pilihanraya.

Oleh itu, sebarang tindakan dan keputusan hanyalah boleh dilakukan oleh kesemua ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat pada pilihanraya yang lalu. Siapa yang dapat sokongan melebihi 111 undian akan dapat menjadi Perdana Menteri. Kita doakan kesemua 222 ahli parlimen akan membuat pilihan yang terbaik untuk memacu Malaysia menghadapi kemelut ekonomi dan pandemik Covid-19 yang melanda negara ini.

Semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap YDPA, negara ini diselebungi dengan teka-teki sama ada kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang atau masih dapat diselamatkan. Langkah balas (counter attack) pertama yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai membalas tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah dengan mengusulkan cadangan perintah darurat bagi mengekalkan kedudukan beliau sebagai perdana menteri.

Suka saya imbas kembali, peristiwa ketika Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Shafie bin Apdal memohon pembubaran Dewan Negeri Sabah, ekoran tindakan Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Musa bin Haji Aman yang ingin mengambil alih pemerintahan Sabah. Bukankah tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sama sahaja seperti mantan Menteri Sabah itu? Kedua-duanya memberikan tindak balas mempertahankan kedudukan mereka yang tergugat.
Impaknya kepada siapa? Tentulah rakyat. Kesan yang ketara daripada pilihanraya Sabah ialah Covid-19 kembali melanda negara, dan sekiranya darurat diperkenankan impak ekonomi merudum lebih teruk pula akan dirasai oleh negara.

Konsolidasi Nasional keperluan membangunkan semula negara

Dalam menghadapi kemelut ekonomi dan pandemik Covid-19 ini, konsolidasi di antara kesemua ahli parlimen perlu dilaksanakan. Kesemua ahli parlimen sepakat virus ini perlu dibendung dan ekonomi negara perlu dirancakkan kembali. Itu kata sepakat yang tuntas daripada semua ahli parlimen. Namun, persoalannya bagaimana dasar dan polisi negara yang perlu dilaksanakan segera agar ekonomi dapat dirancakkan, di samping mampu mengekang dan mengawal penularan pandemik ini.

Adalah menjadi sejarah baru dalam pembentangan bajet negara, Pakatan Harapan dan UMNO telah menyatakan pandangan dan hala tuju mereka untuk diambil kira dalam bajet 2021. Jika sebelum ini, pihak pembangkang membuat bajet alternatif untuk menunjukkan dasar peduli rakyat tanpa mengetahui kedudukan fiskal dan kewangan negara, kini pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama mendengar pandangan dan pendapat masing-masing agar bajet ini dapat disokong oleh ahli parlimen.

Namun, Menteri Kewangan yang akan membuat keputusannya, sama ada untuk mengambil kira pandangan dan pendapat ahli parlimen pembangkang atau sebaliknya. Sebagaimana contoh Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman sewaktu ingin meluluskan undi 18, telah melakukan konsolidasi bersama parti pembangkang dan memasukkan semula usul yang telah mengambil kira pandangan pihak pembangkang.

Bentuk pasukan Kabinet yang terbaik

Perdana Menteri telah membentuk kabinet paling ramai dalam sejarah dunia. Jumlah pendapatan kesemua 69 orang sebagaimana yang tertera di laman sesawang SPR – portal pengisytiharan harta adalah sebanyak RM3,636,778.79 berbanding ketika Pakatan Harapan jumlah kesemua gaji menteri dan timbalan menteri ialah sebanyak RM2,738,448.66. Yang mana, perbezaan hampir RM 1 juta sebulan tersebut dapat memberikan penjimatan wang kerajaan sekiranya tidak berlaku scheme of things dan timbalan menteri dikurangkan daripada 2 kepada hanya seorang sepertimana amalan kebiasaan Perdana Menteri sebelum-sebelum ini.

Harus diingat ini semua adalah duit pembayar cukai yang telah digunakan untuk menguruskan pentadbiran negara, namun apa yang rakyat dapat lihat daripada pentadbiran seramai 69 orang menteri ini? Menteri lebih pentingkan bermain golf berbanding mesyuarat kecemasan ketika kes Covid-19 meningkat secara drastik, ketidakcekapan Menteri Pengajian Tinggi berhubung kemasukan mahasiswa ke universiti-universiti, Menteri Kesihatan yang tidak kelihatan sepanjang tempoh kenaikan kes virus ini, serta lebih ramai menteri yang membisu, tidak nampak sebarang dasar atau polisi yang diperkenalkan untuk membantu membangunkan serta memulihkan negara.

Sudah pasti, rakyat juga tidak akan melupakan prestasi menteri di bawah Pakatan Harapan seperti Menteri pembangunan usahawan yang hanya fokus kepada kereta terbang dan menteri perpaduan yang gagal menangani isu perpaduan.

Langkah Sheraton telah membuka sejarah baru kepada Malaysia, di mana kesemua 222 ahli parlimen ini telah merasai duduk di kerusi kerajaan dan pembangkang. Jika dulu Umno dan Pas melalui kerjasama Muafakat Nasional telah bersama selama 22 bulan menjadi pembangkang, kini mereka telah menjadi kerajaan manakala parti-parti di dalam Pakatan Harapan pula kini kembali menjadi pembangkang semula.

Rakyat Malaysia tentunya dapat menilai prestasi ahli parlimen terutamanya mereka yang pernah memegang jawatan sebagai menteri, baik di dalam kerajaan Pakatan Harapan mahupun kerajaan Perikatan Nasional kini.

Siapa yang patut menerajui negara?

Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, ia adalah bergantung kepada 222 ahli parlimen yang membuat keputusan sokongan dan dokongan terhadap seorang ahli parlimen di kalangan mereka untuk menerajui pemerintahan negara.

Ketika artikel ini ditulis, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi mengepalai negara sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sidang parlimen yang sedang berlangsung sekarang ini terutamanya pembentangan bajet 2021 serta usul tidak percaya yang dikemukakan oleh 25 ahli parlimen pembangkang serta undi percaya oleh 4 ahli parlimen kerajaan sekiranya dibahaskan menjadi penentu sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen dan akan kekal menerajui negara.

Hakikatnya, sejarah demokrasi negara telah tercipta dengan parti pemerintah bertukar sebelum berlakunya pilihanraya. Sejarah juga tercipta apabila kali pertama perdana menteri gagal menasihatkan Yang Di Pertuan Agong agar memperkenankan cadangan perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Adakah sejarah politik negara bakal tercipta lagi selepas ini? Semuanya bergantung kepada sejauh mana 222 ahli parlimen ini memainkan peranan mereka seperti mana mereka lakukan pada Mac yang lalu ketika menghadap Yang Di Pertuan Agong. Kini ia bertempat di dalam Dewan Rakyat semasa sidang parlimen berlangsung.

Kita sama-sama saksikan.