C4 mahu Ahmad Maslan, Noh Omar keluar dari PAC


Ahmad Maslan dan Noh Omar merupakan pilihan yang salah untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, kata NGO anti-rasuah.

PETALING JAYA: Sebuah NGO anti-rasuah meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun mempertimbang semula lantikan 2 individu dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana latar belakang mereka yang dikatakan boleh menimbulkan persolan integriti.

Dalam kenyataan hari ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menamakan Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Noh Omar (BN-Tanjung Karang) sebagai anggota jawatankuasa itu yang dipercayai perlu diganti.

C4 berkata, Yang di-Pertua mesti mempertimbang semula lantikan kedua-duanya kerana pembabitan mereka akan mengundang persoalan terhadap “integriti dan kebolehpercayaan PAC secara keseluruhannya”, seterusnya menjejaskan peranan jawatankuasa itu dalam usaha memperjuangkan ketelusan kerajaan.

Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam borang nyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ia bukan sahaja kelakar tetapi amat membimbangkan kerana orang yang berdepan pertuduhan rasuah dilantik ke sebuah jawatankuasa bertujuan memastikan pentadbiran dijalankan secara baik dan memperjuangakan ketelusan,” menurut kenyataan itu.

Mengenai Noh, NGO itu memetik kenyataan dibuatnya ketika sidang Parlimen pada 4 April 2019. Noh berkata “mencuri tak salah, kalau kena tangkap baru salah”.

“Analoginya, walaupun diberikan dalam semangat yang menegaskan seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, tetapi analogi itu diucapkan dengan cara membimbangkan dan ia akan membawa kecurigaan terhadap tujuan PAC,” kata C4.

Semalam, 12 anggota baharu PAC disahkan, dengan 8 daripada kerajaan manakala baki 4 lagi daripada pihak pembangkang.

Selain Ahmad dan Noh, anggota PAC baharu daripada kerajaan ialah Mohd Fasiah Fakeh (PPBM-Sabak Bernam), Yamani Hafez Musa (PPBM-Sipitang), Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik).

Mereka yang dilantik daripada pembangkang ialah Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), Mohd Hatta Ramli (Lumut) dan Wong Shu Qi (Kluang) daripada Pakatan Harapan (PH) serta Ahmad Hassan (Papar) Warisan.


No comments: