Harits Asyraf Hasnan
November 4, 2020
Tegas Muhyiddin, Belanjawan 2021 yang disediakan Kerajaan telah meletakkan keutamaan untuk melindungi rakyat melebihi segala perkara lain. - Sumber foto Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tanggapan sesetengah pihak bahawa Belanjawan 2021 sebagai 'Belanjawan Pilihan Raya' adalah kurang tepat.
Tegasnya, Belanjawan 2021 yang disediakan Kerajaan telah meletakkan keutamaan untuk melindungi rakyat melebihi segala perkara lain.
Katanya, fokus kerajaan ketika ini adalah mengimbangi antara kewajiban melindungi rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan ekonomi.
"Perkara penting sekarang ini ialah menangani masalah COVID-19 dan kedua menguruskan masalah ekonomi, ini perkara pokok dan tidak masuk perkara ketiga iaitu pilihan raya pun.
"Kalau dua perkara ini dapat kita selesaikan, saya memang mengharapkan supaya kita mendapat suatu mandat baharu. Bermakna, kita akan pergi kepada rakyat dan mohon rakyat mempertimbangkan.
"Kalau mereka berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini bagus, telah memberi banyak sokongan dan bantuan secara prihatin tangani masalah mereka dan menghargai usaha kita, mungkin ia adalah waktu yang terbaik untuk Pilihan Raya Umum sewajarnya dapat kita adakan," katanya pada sesi Wawancara Khas Pra-Belanjawan 2021 bersama media secara maya, hari ini.
Tegas Muhyiddin, Belanjawan 2021 merupakan kesinambungan kepada semua inisiatif rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini dan bukan 'Belanjawan Pilihan Raya'.
"Saya tidak tahu bila masanya COVID-19 ini akan selesai dan ekonomi akan rancak semula. Ini terserah dan kita berdoa kepada Allah SWT agar negara kita akan kembali dalam landasan yang betul dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama.
"Apabila itu telah selesai, maka InsyaAllah, kita akan dapat menguruskan masa depan negara kita dengan lebih baik.
"Jadi Belanjawan ini, saya tak sebut Belanjawan pilihan raya. Walau pilihan raya atau tidak, yang penting adalah membantu rakyat," ujarnya.