USUL MENUKAR SPEAKER TERKANDUNG RAHMAT TERSEMBUNYI BUAT UMNO


Usul menukar Speaker yang akan dibawa oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam Sidang Parlimen esok adalah juga peluang terbuka dengan maksud yang berbeza kepada beberapa pihak yang lain.
Bagi Muhyiddin, tujuannya mengemukakan usul tersebut pastilah dengan maksud yang jelas iaitu untuk memastikan sebarang cubaan menggugat kedudukannya dalam Parlimen tidak berlaku lagi.
Pastilah, keyakinan Muhyiddin membawa usul itu kerana beliau percaya majoriti benar-benar berada di pihaknya.
Begitu pun, berdasarkan kedudukan majoriti yang dimilikinya masih samar-samar dan mereka yang berada dalam kerajaan berbalah sesama sendiri tidak sudah-sudah, semua seperti tidak pasti bagi Muhyiddin.
Tetapi, beliau juga tiada pilihan kerana mengekalkan Mohamad Ariff Md Yusoff lagi sebagai Speaker, jauh lebih bahaya baginya.
Bagi blok pembangkang, kedudukan mereka juga adalah pasti iaitu menolak usul Muhyiddin itu kerana sekaligus inilah peluang terbaik untuk menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Walaupun blok pembangkang nampak berpecah dan tidak sealiran, mereka dipercayai akan bersatu untuk mengekalkan lagi Mohamad Ariff dalam undian esok.
Jika blok pembangkang berjaya mengekalkan Speaker dalam undian esok, ia bermakna usul Muhyiddin adalah tewas dan alamat awal yang tidak baik baginya.
Dengan gagal menukar Speaker pilihannya, bermakna Muhyiddin tiada lagi sokongan dalam Parlimen dan Perdana Menteri yang tiada sokongan dalam Parlimen adalah tidak bermoral untuk terus kekal memegang jawatan tersebut.
Dalam keadaan begitu, walaupun tidak semestinya, Muhyiddin mesti berundur atau meletakkan jawatannya dengan segera.
Kalau pun beliau tidak meletakkan jawatan, Mohamad Ariff yang gagal disingkir itu tentunya akan mempercepatkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang mana usul tersebut telah pun diterima untuk dibentangkan dan diletakkan dalam Aturan Mesyuarat No 27.
Hanya jika Azhar Azizan Harun yang terpilih sebagai Speaker Parlimen yang baru menggantikan Mohamad Ariff, barulah besar kemungkinan usul undi tidak percaya itu akan dilengah-lengahkan seperti usul RUU355 atau dibatalkan terus akhirnya.
Namun, jika Speaker baru mahu memberi ruang juga kepada usul tersebut dibentangkan, ia tidaklah lagi merupakan keadaan yang membimbangkan buatnMuhyiddin.
Kejayaan dalam usul menukar Speaker adalah bayangan Muhyiddin tetap mempunyai sokongan majoriti dalam usul undi tidak percaya terhadapnya.
Lantaran itu, mahu tidak mahu, PH dan blok bebas mesti bersatu hati, sambil berusaha mendapatkan sokongan pihak lain, termasuk daripada kerajaan, dalam menentang usul menukar Speaker esok nanti.
Di situlah peluang paling terbuka untuk menjatuhkan Muhyiddin dan mengembalikan mandat rakyat kepada PH.
Selepas berjaya, berundinglah elok-elok siapa yang harus jadi Perdana Menteri. Yang penting, jatuhkan Muhyiddin dulu.
Bagi pihak dalam kerajaan, khususnya UMNO yang ternampak begitu mahukan pilihanraya mengejut diadakan, undian dalam usul menukar Speaker esok juga merupakan peluang terbaik untuk mencapai tujuan tersebut.
Jika UMNO bersama Pas dalam Muafakat Nasional benar-benar yakin mampu mengambil alih kerajaan dalam pilihanraya mengejut dan mahu menghentikan perbalahan dengan Bersatu, terutama berhubung pengagihan kerusi, mereka mesti memilih untuk tidak menyokong usul Muhyiddin itu.
Apabila usul Muhyiddin kalah dan ternampak pihak dalam kerajaan sendiri tidak menyokongnya, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain harus membubarkan Parlimen.
Maka dengan itu, tercapailah hasrat UMNO untuk pilihanraya mengejut diadakan segera.
Kiranya UMNO terus menyokong usul Muhyiddin, kerajaan PN berpotensi dapat dikekalkan sehingga tahun 2023 dan keadaan itu tidak baik buat UMNO dari segi pengagihan kerusi antara mereka dengan Bersatu.
Muhyiddin akan mempunyai cukup masa mengukuhkan Bersatu, malah dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri juga membolehkan beliau memberi lebih tekanan kepada UMNO dalam menuntut pembahagian lebih kerusi untuk ditandingi bagi partinya.
Sehingga tahun 2023 juga mungkin membuatkan ramai pemimpin UMNO yang ada kes mahkamah sekarang sudah didapati bersalah, tidak mustahil sebahagiannya telah menghuni penjara, maka di mana lagi kedudukan UMNO ketika itu.
Berlengah sehingga 2023 bukanlah pilihan yang baik bagi UMNO. (Shahbudindotcom 12/07/2020)