Pecat Haniza Talha ikut prosedur, tiada kezaliman – Halimey
Kenyataan Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali kononnya berlaku kezaliman dalam pemecatan kenggotaan bekas Ketua Wanita KEADILAN Haniza Talha dibidas Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar.
Menurut Halimey, kenyataan Azmin tersebut bersifat lucu kerana tidak mencermin dirinya sendiri yang menzalimi rakyat setelah mengkhianati mandat pilihan raya umum 2018 apabila melaksanakan Langkah Sheraton sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional pada Februari lalu.
Kata Halimey, pemecatan Haniza tidak menzalimi sesiapa dan berlandaskan prosedur lembaga disiplin parti.
“KEADILAN Selangor mengingatkan Azmin bahawa keputusan pemecatan itu adalah berlandaskan prosedur parti serta timbang rasa yang tinggi sebelum dilaksanakan.
“Tindakan demikian adalah bersesuaian bagi meluruskan semula fokus KEADILAN dari diganggu gugat oleh anasir yang ingin melihat parti hancur dengan matlamat dan hala tuju yang tersasar jauh dari agenda Reformasi.
“Malah tuduhan zalim yang dilemparkan itu lucu, apatah lagi datang dari pemimpin yang menjadi penggerak kepada kejatuhan kerajaan yang dibina daripada mandat rakyat. Justeru KEADILAN Selangor merasakan tindakan merompak mandat rakyat adalah lebih zalim,” katanya dalam satu kenyataan.
Halimey turut mengingatkan bahawa KEADILAN ditubuhkan dengan berpaksi semangat perjuangan Reformasi. Parti itu tidak boleh membiarkan hala tujunya dicorakkan oleh mereka yang meleburkan jerih perih serta keringat rakyat bagi menumbangkan rejim kleptokrat yang kini diletakkan kembali di Putrajaya melalui perancangan Azmin Ali.
“Oleh itu KEADILAN Selangor memberi dokongan penuh kepada keputusan parti, malah yakin pemecatan Haniza akan lebih melonjakkan semangat Wanita KEADILAN khususnya di Negeri Selangor yang telah menunjukkan komitmen terbaik ketika mengharungi krisis yang sengaja dicetuskan baru-baru ini,” kata ADUN Seri Setia itu lagi.
Haniza dilucutkan keanggotaan KEADILAN pada 29 Jun lalu. Manakala Kerajaan Negeri Selangor menghentikan khidmatnya sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar pada 10 Julai lalu.